Pembunuh keluarga Hudson di penjara seumur hidup
Pendakwa raya mendakwa cemburu punca Balfour membunuh mangsanya – Foto ihsan Reuters
CHICAGO - Seorang lelaki disabitkan bersalah oleh panel Juri Amerika Syarikat (AS) kerana membunuh tiga anggota keluarga pelakon, Jennifer Hudson empat tahun lalu.

Bekas abang ipar Hudson, William Balfour didapati bersalah atas tiga tuduhan membunuh darjah pertama.

Menurut pendakwa raya, Balfour, 31, telah menembak mati ibu, abang dan anak saudara Hudson yang berusia tujuh tahun selepas bekas isterinya enggan kembali ke pangkuannya.

Hudson yang juga merupakan pemenang anugerah Oscar itu hadir pada setiap kali perbicaraan tidak dapat menahan air matanya daripada mengalir sewaktu keputusan dibacakan.

Peguam bela Balfour, Amy Thompson berkata, beliau akan membuat rayuan terhadap keputusan itu.

“Kami masih mempertahankan bahawa William Balfour tidak bersalah," katanya.

Sementara itu, pendakwa raya berhujah bahawa sewaktu kejadian, kakak Hudson, Julia sudah tinggal berasingan dengan bekas suaminya dan kembali ke rumah ibunya.

Namun, pendakwa raya dikatakan tidak mempunyai bukti kukuh kerana saksi ataupun cap jari ditemui bagi mengaitkan Balfour melakukan jenayah itu.

Kata pendakwa raya, sewaktu Julia meninggalkan rumah pada 24 Oktober 2008 untuk bekerja sebagai pemandu bas, Balfour telah pergi ke rumah itu dan memukul ibu Hudson, Darnell Donerson, 57, di belakang dan kemudiannya menembak dua kali di kepala Jason Hudson, 29.

Tambah pendakwa raya, Balfour kemudiannya memandu kereta anak lelaki Julia, Julian King dan menembak beberapa kali di kepala mangsa yang duduk di kerusi belakang.

Mayat mangsa kemudiannya ditemui dalam kereta yang ditinggalkan selepas usaha menjejaki mangsa selama tiga hari.

Balfour bagaimanapun menafikan semua tuduhan itu dan pihak peguam bela mendakwa insiden yang berlaku ada berkaitan urusan dadah dengan abang Hudson.