Pemandu maut, 3 parah bas rempuh pokok
Keadaan bas yang melanggar pokok berhampiran Politeknik Kampung LBJ, Nilai.
NILAI – Hajat sekumpulan warga emas untuk bercuti ke Chiangmai, Thailand tidak kesampaian apabila bas persiaran yang membawa mereka ke Lapangan Terbang Tambang Murah (LCCT) Sepang terlibat dalam kemalangan awal pagi, semalam.

Pemandu bas, K Gunachandar, 52, maut manakala tiga penumpang cedera parah.

Dalam kejadian kira-kira jam 5 pagi itu, bas berkenaan dipercayai terbabas sebelum merempuh sebatang pokok berhampiran Politeknik Kampung LBJ, dekat sini.

Gunachandar maut akibat cedera parah di kepala dan beberapa anggota badan, manakala penumpang yang cedera dibawa ke Hospital Tuanku Ja’afar untuk menerima rawatan lanjut.

Menurut jurucakap polis, bas berkenaan dalam perjalanan membawa penumpang dari Gadong Jaya, Tampin ke LCCT.

“Semua penumpang dalam perjalanan untuk menaiki penerbangan ke Chiangmai, Thailand untuk bercuti,” katanya.

Seramai 20 penumpang dibenarkan pulang selepas diperiksa, manakala tujuh masih dirawat di hospital.

Menceritakan detik cemas itu, eorang penumpang, Lau Tau Fong, 62, berkata, bas bergoyang dan hilang kawalan sebelum melanggar pokok, menyebabkan dia bersama dua lagi penumpang tercampak keluar.

Akibatnya, Tau Fong patah tangan kanan, luka di badan.

Dalam pada itu, Pegawai Turus Trafik negeri, Asisten Superintendan Abdul Halil Hamzah mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian berkenaan.