Search This Blog

Sunday, May 20, 2012

Pelabur culik peguam

myMetroPelabur culik peguam:

KUALA LUMPUR: Akibat gagal membayar wang keuntungan skim pelaburan dijalankan, seorang peguam dilarikan pelaburnya yang menuntut kembali wang modal mereka laburkan dianggarkan berjumlah RM180,000.
Difahamkan, peguam berusia 35 tahun itu membuat laporan polis mendakwa dia diculik enam lelaki tempatan di sebuah restoran makanan segera di Kepong, di sini, pada 12 Mei lalu sebelum dikurung di sebuah rumah di Rawang dan hanya dibebaskan pada Rabu lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah berkata, mangsa mendakwa dia turut dipaksa minum sejenis minuman yang mengkhayalkan selain dibelasah enam lelaki berkenaan.
“Suspek didakwa meminta mangsa membayar wang tebusan bernilai RM150,000 untuk membebaskan dirinya dan wang itu dibayar melalui cek oleh ahli keluarga mangsa.

“Sebaik menerima bayaran, mangsa dibebaskan pada 16 Mei di sebuah rumah yang dipercayai tempat dia dikurung sepanjang tempoh penculikan,” katanya.

Bagaimana pun, beliau berkata, siasatan awal polis mendapati enam lelaki terbabit bertindak demikian kerana ingin membalas dendam terhadap mangsa yang enggan memulangkan wang pelaburan mereka.
“Tindakan suspek menculik mangsa hanya alasan untuk mendapatkan semula wang modal yang mereka laburkan untuk perniagaan dijalankan.

“Wang itu sudah lesap sebaik dibayar kepada mangsa, sebab itu mereka guna cara ini untuk dapatkan semula wang berkenaan,” katanya.
Katanya, berikutan kejadian itu, polis menahan tiga suspek berusia awal 30-an di sekitar ibu negara kelmarin bagi membantu siasatan.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan kerana melarikan orang dan Seksyen 384 Kanun Keseksaan kerana melakukan pemerasan.

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment