Search This Blog

Thursday, May 31, 2012

Pathmanabhan nafi tipu jual beli tanah

N. Pathmanabhan (tengah) bersama T. Thilaiyalagan (kiri) R. Matan dan R. Kathavarayan (terlindung dua dari kiri) hadir di Mahkamah Tinggi, Shah Alam, semalam. - UTUSAN/MOHD. NAIM AZIZ
SHAH ALAM 30 Mei - Pihak pendakwaan yang mengendalikan perbicaraan kes pembunuhan Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga lagi hari ini mendakwa wujudnya penipuan dalam urusan jual beli tiga lot tanah di Pulau Pinang oleh jutawan kosmetik itu daripada seorang warganegara India.
Timbalan Pendakwa Raya, Saiful Edris Zainuddin semasa menyoal balas bekas peguam yang juga tertuduh pertama, N. Pathmanabhan di Mahkamah Tinggi di sini berkata, kesemua lot-lot tanah berkenaan mempunyai kaveat (sekatan) yang tidak ditarik balik sehingga hari ini.
Beliau turut menunjukkan dokumen perjanjian jual beli antara A. Muthuraja sebagai individu yang diberi kuasa mewakili S.P. Thillai Natarajan dengan Southern Symphony Sdn. Bhd., syarikat milik Sosilawati tanpa nombor pasport kedua-dua lelaki warganegara India itu.
"Saya katakan ini adalah penipuan jual beli tanah, nak dapat untung cepat yang dijalankan oleh kamu sendiri. Kalau tiga pemilik tanah ini sudah buat kaveat, jual beli kamu ini adalah satu penipuan.
"Sebagai peguam, bila ada sekatan, kamu sepatutnya menasihatkan anak guam agar tidak beli tanah tersebut. Saya katakan kamu tak beri nasihat dalam hal ini.
"Saya katakan ini adalah penipuan sebab sehingga hari ini, transaksi jual beli itu tidak berjalan," cadang Saiful Edris kepada Pathmanabhan.
Pathmanabhan bagaimanapun menafikan dia terlibat dalam penipuan jual beli tanah dan mengendalikan urusan yang mencurigakan sebagai peguam mewakili Sosilawati.
Dia juga mendakwa telah memberi nasihat kepada Sosilawati agar tidak meneruskan hasrat tersebut tetapi wanita itu dikatakan berkeras mahu membeli hartanah yang mempunyai perintah kaveat itu.
Proses untuk menarik balik kaveat ke atas tanah-tanah tersebut juga didakwa masih berterusan walaupun dia mengakui permohonan yang dibuat olehnya sendiri telah ditarik balik.
Apabila ditunjukkan surat firma guaman, Cheong Wai Meng & Van Buerle bertarikh 16 Mei 2009 yang mengatakan kemungkinan wujudnya penipuan dalam urusan jual beli hartanah tersebut, Pathmanabhan mengakui menerimanya melalui faks.
Pathmanabhan, 43, membela diri atas tuduhan membunuh Sosilawati, 47; pemandunya, Kamaruddin Shamsuddin, 44; peguam, Ahmad Kamil Abd. Karim, 32; dan pegawai Bank CIMB cawangan Kampung Baru, Noorhisham Mohamad, 38.
Turut dipanggil membela diri atas tuduhan yang sama ialah tiga pekerja ladangnya, T. Thilaiyalagan, 21; R. Matan, 22, dan R. Kathavarayan, 32.
Mereka didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan itu di Lot No. 2001, Jalan Tanjung Layang, Tanjung Sepat, Banting dekat sini antara pukul 8.30 malam dan 9.45 malam, 30 Ogos 2010.
Merujuk kepada urusan jual beli hartanah yang sama antara Sosilawati dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sementa, Datuk Abdul Rahman Palil, Pathmanabhan mengakui hartanah itu tidak dipindah milik daripada Southern Symphony kepada Ample Quality Sdn. Bhd., sehingga hari ini.
Sehubungan itu, Saiful Edris mendakwa Ample Quality yang dimiliki oleh Abdul Rahman dengan Pathmanabhan turut mempunyai kepentingan dalam syarikat itu, melakukan penipuan dalam satu laporan untung rugi bagi tahun 2008.
Katanya, Ample Quality meletakkan maklumat bahawa syarikat itu membayar cukai tanah kepada Pejabat Tanah Pulau Pinang lebih RM300,000 untuk tiga lot tanah berkenaan sedangkan tanah tersebut bukan milik mereka.
Pathmanabhan sekali lagi menafikan berlaku penipuan selain mendakwa laporan itu bukan disediakan olehnya tetapi pengarah-pengarah syarikat tersebut.
Berhubung jumlah wang di dalam akaun bank, Pathmanabhan mengakui ia hanya berbaki RM61,000 pada 9 September 2010 dan RM56,840 pada 14 September sedangkan cek yang diberikan kepada Sosilawati bernilai lebih RM1 juta.
Dia bagaimanapun menafikan tidak mempunyai wang untuk membayar Sosilawati selain mendakwa cek RM3 juta yang diberikan itu adalah sebagai pinjaman kepada wanita itu.
Semasa disoal oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ishak Mohd. Yusoff, Pathmanabhan mengaku tindakannya mengarahkan dua peguam, Kam Sani dan Nor Zairawaty Abd. Razak menurunkan tandatangan sebagai saksi pada dua dokumen perjanjian jual beli tanah antara Sosilawati dengan individu lain tanpa kehadiran kedua-dua pihak adalah menyalahi undang-undang.
Dalam keterangan hari ini, Pathmanabhan turut mengesahkan lelaki bernama Tengku Mohamad yang membawa pembantu rumah, Siti Hamidah Karnax kepadanya telah pun meninggal dunia selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya di Putrajaya.
Sementara wanita bernama Selvi yang dikatakan saudara serta anak guamnya pula telah mati dibunuh di hadapan rumahnya sendiri.
Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Akhtar Tahir bersambung 3 Julai ini.

No comments:

Post a Comment