Search This Blog

Thursday, May 31, 2012

Pasangan Pakistan ditahan UPP

ALOR SETAR 30 Mei - Unit Pencegah Penyeludupan (UPP) negeri menahan sepasang suami isteri warga Pakistan yang menyeludup masuk ke negara ini menerusi kawasan sempadan Malaysia-Thailand di Bukit Kayu Hitam dekat sini semalam.
Timbalan Komander Operasi UPP Kedah, Noor Mohamed Shaik Alaudin berkata, pasangan berusia 30 dan 32 tahun itu masuk ke negara ini menerusi laluan tikus di Padang Golf Black Forest, Bukit Kayu Hitam sebelum diberkas oleh anggotanya di Changlun kira-kira pukul 6.30 petang.
Katanya, mereka tiba di Bangkok, Thailand dari Lahore, Pakistan pada 21 Mei lalu dan dipercayai cuba memasuki negara ini untuk bekerja di Kuala Lumpur.
"Kemasukan mereka diuruskan oleh satu sindiket yang dipercayai bergiat aktif di kawasan sempadan Malaysia-Thailand dengan bayaran tertentu," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Noor Mohamed berkata, pihaknya turut menahan seorang lelaki warga India berusia 53 tahun yang disyaki terlibat secara langsung menyeludup masuk pasangan tersebut.
Katanya, modus operandi lelaki India yang berkahwin dengan wanita tempatan itu adalah membawa masuk pasangan berkenaan semasa orang ramai mengunjungi pasar malam di kawasan Padang Golf Black Forest yang diadakan setiap Selasa.
"Kaedah itu digunakan bagi mengaburi mata pihak berkuasa kerana beranggapan aktiviti berkenaan sukar dikesan apabila mereka bergerak di tengah-tengah orang ramai.
"Lelaki ini berani mengambil risiko menjadi tekong darat kerana dipercayai mendapat upah lumayan antara RM3,000 hingga RM4,000 apabila berjaya membawa masuk seorang pendatang asing," katanya.
Menurut Nor Mohamed, pasangan suami isteri Pakistan itu ditahan mengikut Seksyen 5(2) Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002) dan Seksyen 6(1)(c) akta yang sama yang boleh didenda RM10,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali.
Katanya, lelaki warga negara India yang bekerja sebagai tukang kimpal di sini pula disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002) dan Akta Anti Pemerdagangan Orang serta Anti Penyeludupan Migran 2007 (Akta 670).
UPP turut menyita sebuah kereta Honda yang dipercayai digunakan untuk membawa pasangan Pakistan tersebut ke Kuala Lumpur.
Kes ini dirujuk kepada Bahagian Penguat Kuasa Jabatan Imigresen untuk tindakan lanjut, katanya.

No comments:

Post a Comment