Search This Blog

Saturday, May 5, 2012

Orang pertama serah diri

myMetro | Orang pertama serah diri:KUALA LUMPUR: Individu pertama daripada 49 peserta terbabit dalam perhimpunan Bersih 3.0 yang disiarkan gambar mereka dalam media cetak dan elektronik, sudah menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur (IPK KL), di sini, semalam.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohmad Salleh berkata, lelaki berusia 39 tahun itu datang ke IPK KL jam 3 petang untuk membantu siasatan selepas melihat gambarnya tersebar meluas di media.


Menurutnya, seorang lagi mahasiswa berusia 22 tahun pula berjanji kepada pihaknya untuk menyerah diri bersama peguamnya pagi ini.

Sementara itu, semalam, Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut mengedarkan 13 keping gambar lagi yang menunjukkan keganasan sewaktu perhimpunan berkenaan.


Mohmad berkata, hasil daripada penelitian pada gambar dirakamkan pihak media dan polis sepanjang perhimpunan itu pada 28 April lalu, pihaknya membuat keputusan mengedarkannya yang dibahagikan kepada Lampiran A dan Lampiran B.


Menurutnya, gambar dalam Lampiran A itu menunjukkan rakaman anggota polis yang didakwa mengasari orang awam serta wartawan ketika bertugas mengawal keadaan ketika perhimpunan berkenaan.


“Melalui rakaman gambar di Lampiran A, saya meminta orang ramai yang berada di tempat kejadian khususnya mereka yang menyaksikan kejadian berkenaan (kekasaran anggota polis) untuk tampil memberikan kerjasama mahupun menyerahkan bukti yang ada.


“Keterangan mereka akan direkodkan pegawai penyiasat mengikut prosedur undang-undang bagi membolehkan siasatan dijalankan ke atas dakwaan mereka itu,” katanya dalam kenyataan akhbar, semalam.

Katanya, gambar dalam Lampiran B pula menunjukkan aksi deretan peserta perhimpunan yang merempuh kawalan polis di kawasan berdekatan Dataran Merdeka. Beliau berkata, gambar dalam lampiran kedua itu nyata menunjukkan peserta perhimpunan berhasrat menuju ke Dataran Merdeka yang dikawal polis dan pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).


Katanya, pihaknya turut mengenal pasti 42 individu lain yang turut terbabit dalam perhimpunan berkenaan dan gambar mereka turut diedarkan supaya mereka tampil memberi kenyataan.


“Orang ramai yang mengenali mana-mana individu yang berada dalam Lampiran A mahupun B untuk tampil menyalurkan maklumat kepada mana-mana pegawai polis, balai polis atau berhubung terus dengan pegawai Jabatan Siasatan Jenayah D7A Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, Asisten Superintendan Azmi Aziz melalui e-mel azmiaziz@rmp.gov.my atau talian 019-2602344 dan 019-3872344,” katanya.


Semalam, akhbar menyiarkan gambar 49 individu termasuk mahasiswa yang dikenal pasti melakukan pelbagai kesalahan termasuk jenayah ketika perhimpunan Bersih 3.0, di ibu negara, Sabtu lalu. Dalam sidang media dilakukan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur itu Mohmad berkata, individu berkenaan diminta tampil secepat mungkin sebelum mereka dijejaki melalui alamat kediaman masing-masing. “Polis mempunyai maklumat lengkap mereka, namun kami meminta mereka tampil untuk memberi kerjasama dan membantu siasatan. “Kalau mereka masih berdegil, kita tidak teragak-agak mencari mereka di alamat yang dikenal pasti,” katanya.

No comments:

Post a Comment