Search This Blog

Sunday, May 20, 2012

Nelayan rugi bot karam

Nelayan rugi bot karam - Kelantan - Sinar Harian:

Nelayan rugi bot karam
Mat Zuki menunjukkan keadaan bot yang rosak setelah karam kelmarin.
KOTA BHARU- Seorang nelayan kini buntu setelah bot yang dimilikinya karam di Pengkalan Bot Siti Manis, Kedai Buloh, di sini, malah dia kini risau kerana punca pendapatannya hilang.

Nelayan itu, Mat Zuki Mat Husin, 45, bagaimanapun bersyukur kerana terselamat kerana tidak sempat menaiki bot itu untuk menangkap ikan ke Laut China Selatan.

“Kelmarin, kira-kira jam 9 pagi, saya keluar ke Pengkalan Bot Siti Manis dan terkejut setelah mendapati bot yang digunakan setiap hari tenggelam, malah terpaksa ditarik selama dua hari untuk naik semula ke pengkalan.

“Bot ini sudah berusia 30 tahun, terlalu usang dan saya rasa ia karam kerana lantainya bocor,” katanya kepada Sinar Harian, di Pengkalan Bot Siti Manis, Kedai Buloh, di sini.

Lebih menyedihkannya, dia kini hilang punca pendapatan kerana sejak menjadi nelayan hampir 30 tahun lalu, melalui kerja menangkap ikan, dia mampu membesar dan menyekolahkan anak-anak.

“Saya mempunyai tujuh anak, enam daripadanya masih belajar, seorang di Universiti Malaya, seorang di Sekolah Sains Machang, seorang di tingkatan enam Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putera, dua di SMK Kedai Buloh dan seorang di Sekolah
Kebangsaan Kedai Buloh,” katanya.

Dia mengalami kerugian kira-kira RM20,000 melibatkan bot, peralatan lain seperti pukat tunda dan kelengkapan menangkap ikan.

Mat Zuki berkata, setelah botnya ditarik, dia mendapati badan bot yang diperbuat daripada kayu itu sudah rosak dan tidak boleh dibaiki lagi.

“Saya adalah peserta e-Kasih, miskin tegar dan mengharapkan pihak berkaitan serta sesiapa yang bersimpati membantu saya mendapatkan semula bot.

“Saya buntu untuk mencari pendapatan, hanya mahir menangkap ikan dan saya amat berharap mendapat bot baru dalam masa terdekat,” katanya yang mempunyai isteri, Roslina Mat Yaman, 43, seorang suri rumah.

Katanya, laporan polis dibuat di Balai Polis Badang semalam dan sesiapa yang sudi membantu boleh menghubunginya di talian 013-9129710 (Mat Zuki).

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment