Nekad heret ejen gores dan menang ke PPDNKK
Ejen syarikat gores dan menang (duduk, kiri) dibawa menemui pegawai PPDNKK (kanan) oleh mangsa yang menuntut wang mereka dikembalikan, semalam.
KUANTAN - Seorang ejen sebuah syarikat gores dan menang terpinga-pinga apabila menyedari lokasi yang dimaksudkan mangsa sebagai tempat untuk menjelaskan baki bayaran RM5,000 sebenarnya Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) Pahang, Jalan Gambut di sini.

Lebih mengejutkan, dia bukan sahaja tidak mendapat baki bayaran itu sebaliknya lima lagi mangsa yang mendakwa ditipu syarikat terbabit sedia menunggu untuk menuntut kembali wang mereka membabitkan jumlah keseluruhan RM32,400.

Bagimanapun semua mangsa hampa apabila wang mereka gagal dipulangkan ketika itu kerana ejen berusia dalam lingkungan 20an itu hanya jurujual biasa.

Lelaki itu yang agak tertekan dengan desakan mangsa bagaimanapun bersetuju mewakili majikannya menerima dan menandatangani notis pendengaran ke Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) yang diserahkan mangsa setelah mereka menfailkan tuntutan di tribunal sebelum itu.

Keadaan agak tegang seketika memaksa ejen terbabit menghubungi wakil syarikat untuk hadir menemui mangsa bagi menyelesaikan perkara tersebut.

Kira-kira jam 4 petang, seorang wanita dikenali sebagai Chiw, 29 mendakwa sebagai kerani syarikat terbabit tampil menemui mangsa sebelum mengadakan perbincangan dengan pegawai PPDNKK selama kira-kira setengah jam.

Hasil perbincangan, Chiw bersetuju secara lisan untuk memulangkan kembali wang mangsa sebelum membuat satu aku janji bertulis tangan sebagai dokumen sokongan terhadap janji itu.

Mangsa masih sangsi

Wakil kumpulan terbabit, Yusuf Salleh, 48 dari Kuala Terengganu berkata, berdasarkan perjanjian itu, syarikat bersetuju memulangkan kembali wang mereka sebelum 30 Mei ini dan pembayaran akan dilakukan di PPDNKK.

Menurutnya, bagaimanapun mereka masih sangsi dengan janji itu kerana ada kemungkinan syarikat terbabit menghilangkan diri bagi mengelak membayar wang tersebut.

“Sekurang-kurangnya kami diberikan sedikit harapan hari ini (semalam) walaupun belum tentu pasti wang itu akan dikembalikan,” katanya.

Yusuf berkata, mereka berenam bertemu di TTPM semasa sesi pendengaran semalam sebelum mengambil keputusan untuk mengumpan ejen terbabit bagi menuntut kembali wang mereka selepas mendapati pejabat syarikat terbabit tutup. “Sebelum itu satu laporan polis turut dibuat berhubung kes ini bagaimanapun kami dinasihatkan supaya mengemukakan tuntutan di TTPM,’ katanya.

Menurutnya, kebetulan salah seorang mangsa yang turut terkena bersetuju untuk mengumpan agen terbabit ke PPDNKK dengan helah menjelaskan baki bayaran RM5,000 seperti yang dijanjikan.

“Kami kerugian antara RM3,000 hingga RM8,800 selepas terpedaya dengan tawaran menarik termasuk kereta mewah bernilai lebih RM100,000 dan pakej pelancongan sedangkan barang yang kami dapat hanya tilam dan dapur,” katanya.

Yusuf berkata, dia datang ke Kuantan 16 Mac lalu untuk membeli belah di sebuah pusat membeli belah di sini sebelum didatangi seorang lelaki dan menawarkan kupon hadiah cabutan bertuah secara percuma.

“Saya terkejut kerana memenangi hadiah yang cukup lumayan berupa sebuah kereta mewah dan hanya perlu membayar RM8,800 sebagai cukai Lembaga Hasil Dalam Negeri dan kos iklan di 10 akhbar tempatan. “Kira-kira jam 6.30 petang hari yang sama, saya menjelaskan wang tersebut namun hadiah kereta yang dijanjikan bertukar kepada tilam dan dapur yang harganya jauh lebih rendah,” katanya.

Menyedari tertipu, dia tampil mengemukakan tuntutan di TTPM dan selepas pendengaran sebanyak dua kali, tuntutannya diterima apabila syarikat terbabit diarah memulangkan kembali jumlah wang tersebut manakala tilam dan dapur perlu diserahkan kembali.

“Bagaimanapun surat perintah itu gagal diserahkan kerana pejabat syarikat tutup lalu kami sepakat untuk melakukan tindakan ini,” katanya.

Kisah tertipu

Bagi Amir Hamzah, 43 dari Kemaman, Terengganu, dia membayar RM4,400 sebagai sebahagian daripada bayaran untuk melayakkannya menerima hadiah lumayan yang dijanjikan.

Menurutnya, dia ke Semambu untuk membeli cat sebelum didatangi agen syarikat gores dan menang.

“Entah di mana silapnya saya bersetuju dengan tawaran lelaki itu lalu menjelaskan sebahagian bayaran namun selepas itu baru sedar tertipu,” katanya yang hadir menfailkan tuntutan di TTPM, semalam.

Bagi Aflah Mohamed, 25, dia terpaksa mengeluarkan wang tabungan RM7,000 kerana berminat dengan hadiah kereta mewah dan pakej pelancongan ke luar negara yang dijanjikan.

“Bagaimanapun harapan saya lebur apabila hadiah yang dijanjikan itu hanya janji kosong sebaliknya beberapa barangan elektrik yang harganya jauh lebih murah diterima,” katanya.

Rata-rata mangsa yang ditemui mengakui kejadian yang menimpa mereka itu disebabkan kecuaian mereka sendiri bagaimanapun taktik licik yang digunakan agen syarikat terbabit menyebabkan mereka terpedaya.

Mereka buntu untuk mendapatkan kembali wang itu memandangkan undang-undang sedia ada dirasakan tidak mampu untuk melindungi mereka sebagai pengguna.

“Kami hanya mampu berharap dan berserah agar wang kami dikembalikan sepenuhnya seperti yang dijanjikan wakil syarikat tadi (semalam),”kata mereka.

Maklum balas pihak PPDNKK berhubung hal ini akan diperoleh dalam masa terdekat memandangkan pengarah dan timbalan tiada di pejabat, semalam.