Misteri kehilangan terjawab
Mayat mangsa dibawa oleh anggota penyelamat selepas ditemui kira kira 7km dari tempat kejadian.
KOTA TINGGI – Misteri kehilangan seorang kanak-kanak berusia enam tahun di sebuah rumah rakit di perairan Teluk Sengat petang kelmarin, terjawab selepas mayatnya ditemui pagi semalam.

Mangsa yang juga pelajar pra sekolah, Mohd Asraf Mohd Dani, dipercayai terjatuh dari rumah rakit berkenaan dan lemas, sebelum mayatnya yang dibawa arus dijumpai anggota penyelamat, kira-kira tujuh kilometer (km) dari lokasi kejadian dalam keadaan berpakaian lengkap.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superitendan Che Mahazan Che Aik berkata, mangsa dipercayai hilang pada jam 2.40 petang kelmarin selepas ibunya mendapati mangsa tiada di sekitar rumah rakit tersebut.

“Ketika kejadian, ibu mangsa turut berada di rumah rakit itu. Ibunya mengesyaki sesuatu apabila mangsa tidak menjawab panggilannya.

“Setelah gagal mencari mangsa di sekitar tempat kejadian, dia kemudiannya melaporkan kehilangan itu kepada pihak berkuasa,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Beliau berkata, operasi menyelamat yang bermula petang kelmarin itu turut melibatkan polis marin, anggota bomba dan penyelamat dan juga penduduk mencari di sekitar kawasan kejadian.

“Mayat kanak kanak tersebut yang masih berpakaian lengkap dijumpai anggota penyelamat pada jam 10.15 pagi semalam kira-kira 7km dari rumah rakit tersebut,” katanya.

Katanya, mayat mangsa yang juga anak keempat daripada enam beradik itu dibawa ke Hospital Kota Tinggi untuk bedah siasat.

Difahamkan, ketika kejadian, ayah mangsa yang juga pekerja di rumah rakit tersebut tiada di tempat kejadian kerana mempunyai urusan kerja.

Sementara itu, abang mangsa, Mohd Adam, 11, berkata, selepas pulang dari sekolah pada jam 1 petang, dia mandi dan bersolat dahulu di rumah mereka berhampiran pekan Teluk Sengat.

“Kemudian saya diberitahu ayah bahawa adik telah hilang sebelum bergegas ke rumah rakit.

“Hampir setiap malam kami sekeluarga tidur di rumah rakit ini. Malah kali terakhir saya berjumpa dengan adik pada malam sebelum kejadian dan kami tidur bersama,” katanya.