Search This Blog

Saturday, May 5, 2012

Longkang tersumbat didakwa jadi punca



AMPANG 3 Mei - Banjir kilat akibat hujan lebat semalam menyebabkan penduduk di Taman Putra di sini mengalami kerugian apabila air naik setinggi hampir satu meter di dalam rumah mereka.
Kira-kira 50 rumah penduduk daripada kawasan kediaman tersebut terjejas dan dimasuki air.
Seorang penduduk, Treise Yong, 39, berkata, lebat hujan telah menyebabkan air naik dan memasuki rumahnya kira-kira pukul 1.30 petang.
Katanya, ketika itu dia berada di dapur dan tiba-tiba terdengar bunyi air yang kuat dari bahagian depan rumah.
"Bila saya ke depan, saya mendapati air sudah memasuki rumah. Dalam masa 10 minit sahaja air sudah banyak. Saya berasa takut kerana perkara ini tidak pernah terjadi di sini.
"Banyak perabot dan peralatan elektrik seperti televisyen rosak terkena air dan saya harap Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) dapat memberi pampasan kepada penduduk," katanya ketika ditemui di rumahnya di sini hari ini.
Sementara itu, seorang penduduk, Woi Faa Kong, 62, berkata, kerugian yang dialaminya dianggarkan RM2,000 ke RM5,000 kerana air naik begitu cepat dan banyak barang tidak dapat diselamatkan.
"Banjir yang masuk ke rumah turut membawa sampah-sarap. Kami mengambil masa hampir enam jam untuk membersihkan rumah selepas itu.
"Sudah 20 tahun saya tinggal di sini dan ini merupakan banjir yang paling teruk," ujarnya.
Dalam pada itu, seorang lagi penduduk, Hamid Hussien, 50, berkata, banyak barangan untuk perniagaannya rosak kerana dimasuki air.
"Saya berniaga kuih-muih dan bila air masuk (ke rumah) banyak bahan-bahan untuk membuat kuih rosak.
"Saya juga tidak dapat berniaga selama dua hari bagi membersihkan rumah," jelasnya.
Longkang yang dipenuhi sampah-sarap dan tidak disenggara didakwa menjadi penyebab berlakunya banjir kilat di Taman Putra petang semalam.
Ketua Biro Aduan Dewan Undangan Negeri (DUN) Teratai, Ben Liew berkata, air naik kerana longkang di kawasan kediaman itu dipenuhi sampah menyebabkan air tidak dapat mengalir dengan baik.
Katanya, lebih 50 buah rumah di kawasan itu terjejas dan dimasuki air.
"Rumah yang dimasuki air adalah di Jalan 19, Jalan 21 dan Jalan 23.
"Banjir ini berlaku kerana longkang dipenuhi sampah sehingga menyebabkan penduduk terjejas dan kerugian," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui di perumahan tersebut di sini hari ini.
Ben turut memberitahu bahawa terdapat kejadian tanah runtuh di sekitar kawasan DUN itu iaitu di Taman Saga, Pangsapuri Intan, Bukit Permai dan Cheras Baru.
"Nasib baik tiada kemalangan jiwa berlaku, cuma sebuah kereta yang terlibat dalam kejadian tanah runtuh di Pangsapuri Intan.
"Saya harap Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) dapat mengambil tindakan untuk mengelakkan berlaku perkara yang tidak diingini.
"Sebelum ini saya pernah menulis surat kepada MPAJ supaya membina benteng konkrit (di Pangsapuri Intan) untuk mengelakkan hakisan tetapi masih tiada apa-apa tindakan," jelasnya.

No comments:

Post a Comment