Search This Blog

Thursday, May 31, 2012

Lima lelaki didakwa culik peguam

KUALA LUMPUR 30 Mei - Lima lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan menculik seorang peguam bagi mendapatkan wang tebusan RM150,000, tiga minggu lalu.
Tertuduh-tertuduh terdiri daripada dua joki kereta, R. Gokula Kanna, 29, dan S. Kathiravan, 28; broker kereta, Tan Weng Leong, 28; dan dua peniaga, Mohamad Fahmy Mohd. Daud, 38, serta Tan Kok Kuen, 35.
Mereka bersama dua lagi yang masih bebas didakwa menculik Jason Leong Wai Meng, 35, untuk mendapatkan wang tebusan RM150,000 di Restoran Relex World Food Court, G20-21, First Residence Unggul, Jalan Mutiara di sini, kira-kira pukul 12 tengah malam, 12 Mei lalu.
Pendakwaan dikendalikan mengikut Seksyen 3 Akta Penculikan 1961 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan jika tidak dikenakan hukuman mati, boleh disebat.
Weng Leong diwakili peguam bela Zaleha Al-Hayat; Kathiravan diwakili V. Ravichandran, Kok Kuen diwakili K.L. Yong manakala Gokula Kanna dan Muhamad Fahmy tidak diwakili peguam.
Kesemua mereka mengangguk tanda memahami pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Syahdatul Kamilah Zakaria.
Bagaimanapun, tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada setiap tertuduh.
Mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 30 Julai ini setelah Timbalan Pendakwa Raya, S. Malini Anne memaklumkan pihaknya masih menunggu laporan forensik.

No comments:

Post a Comment