Search This Blog

Thursday, May 3, 2012

Lembah Klang dilanda banjir

Foto
PEKAN Salak Selatan turut ditenggelami air dalam kejadian hujan lebat sekitar Lembah Klang, semalam.
Foto
AIR sungai melimpah menyebabkan bandar Kajang dilanda banjir kilat.
Foto
PEMILIK premis di Kampung Setia Jaya Setapak membersihkan kediaman masing-masing selepas dinaiki air lumpur .
Berita Harian Online | Lembah Klang dilanda banjir:
KUALA LUMPUR: Hujan lebat lebih sejam di sekitar Lembah Klang semalam mengakibatkan beberapa kawasan dilanda banjir kilat, selain beberapa kejadian pokok tumbang turut dilaporkan.

Antara kawasan digenangi banjir termasuk Bandar Tun Razak, Salak Selatan, Bandar Tasik Permaisuri, Pandan Indah, Kajang dan Gombak dengan jalan utama terjejas ialah Jalan Ampang, Jalan Cheras, Jalan Maktab, Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) berhampiran Pandan Indah serta susur keluar ke Jalan Duta dari Jalan Kuching.
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengesahkan sekurang-kurangnya dua pokok tumbang di Bulatan Sungai Besi yang menghempap beberapa kenderaan, namun tiada kecederaan atau kemalangan jiwa, manakala satu lagi kejadian di Bandar Tun Razak berhampiran Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur tetapi tidak terkena kenderaan.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Khirudin Drahman berkata, berlaku kejadian tanah runtuh di tebing bukit di Taman Supreme, Cheras, namun tiada kecederaan dilaporkan selain tidak menjejaskan lalu lintas.

“Antara kawasan dilanda banjir kilat adalah Kampung Pauh, Sentul; bangunan PERKIM, Jalan Ipoh; Kampung Setia Jaya, Setapak; terowong di Bulatan Cheras dan Jalan AU5 hingga AU7 Lembah Keramat, Jelatek.

“Banjir di sekitar ibu negara pulih kira-kira jam 4 petang selepas beberapa kawasan dan jalan utama dinaiki air tetapi tidak serius, namun bomba sudah menghantar pasukan bagi menjalankan pemantauan,” katanya.

Difahamkan, Terowong Pengurusan Air Banjir dan Jalan Raya (SMART) turut ditutup sepenuhnya petang semalam bagi mengaktifkan sistem aliran banjir. 
Susur keluar Jalan Duta dari Jalan Kuching ditutup kepada semua kenderaan ekoran air melimpah mengakibatkan sebuah kereta Toyota Camry terperangkap dalam kejadian banjir kilat itu, menyebabkan jalan sesak teruk hampir dua jam.

Di Jalan Semantan, hujan lebat dan jalan licin turut menyebabkan kereta Perodua Myvi terbabas lalu jatuh ke dalam longkang. Bagaimanapun, selepas jam 8 malam, jalan raya di sekitar ibu kota pulih daripada kesesakan lalu lintas. 

Di Kampung Setia Jaya, Setapak di sini, lebih 60 rumah penduduk dilanda banjir lumpur setinggi 0.5 meter dan memaksa separuh daripada 150 penduduk berpindah ke Dewan UMNO Kampung Setia Jaya.

Di Selangor pula, berlaku beberapa kejadian banjir kilat serta tanah runtuh di beberapa kawasan termasuk di Bangi, Hulu Kelang, Sungai Jeluk dan pekan Kajang, Kampung Tasik Permai, Ampang dan Selayang.

Penolong Pegawai Operasi Bomba dan Penyelamat Selangor, Mohd Sani Harul berkata, empat jentera dengan 22 anggota ke semua lokasi terbabit untuk memantau banjir kilat akibat hujan lebat lebih satu jam itu.

“Tiada kemalangan atau kecederaan dilaporkan, namun banjir kilat menyebabkan berlaku kesesakan lalu lintas luar biasa.

“Kira-kira jam 5 petang, banjir mula surut dan keadaan kembali sedia kala, namun kita sentiasa berjaga-jaga kerana masalah banjir kilat boleh berulang jika hujan berterusan,” katanya.

Sementara itu, beberapa tanah runtuh berlaku di Ampang, namun tidak serius dan antara lokasi adalah di Jalan 46, Bukit C, Kampung Cheras Baru; Apartmen Intan, Bukit Permai dan Jalan Bukit Permai.

Penduduk Apartmen Intan, Abdullah Che Mat, 62, berkata bimbang kerana tanah runtuh yang pertama kali berlaku di bukit belakang Blok 1 apartmen itu menyebabkan beberapa pokok tumbang dan menghempap kereta Perodua Myvi milik penduduk di situ.

No comments:

Post a Comment