Search This Blog

Sunday, May 27, 2012

Lelaki terlibat 31 kes tipu dicekup



Roslee Chik menunjukkan kad ATM pelbagai bank didaftarkan atas nama warga Indonesia serta buku akaun simpanan Tabung Haji yang dirampas di IPK Pulau Pinang, semalam.
PULAU PINANG 24 Mei - Kelicikan seorang lelaki menyamar sebagai pegawai pendidikan dan disyaki terlibat dalam 31 kes penipuan di seluruh negara sejak tahun lalu melibatkan kerugian kira-kira RM200,000 berakhir apabila suspek diberkas di Sungai Petani, Isnin lalu.
Lelaki berusia 40-an itu ditahan pukul 4.30 petang di sebuah bank ketika berunding dengan seorang kontraktor yang dipercayai untuk dijadikan mangsa seterusnya.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri, Asisten Komisioner Roslee Chik berkata, suspek berasal dari negeri ini dipercayai terbabit dengan 16 kes yang dilaporkan di Pulau Pinang manakala 15 kes lain pula di Kedah, Perlis, Pahang, Melaka, Kuala Lumpur dan Perak.
Katanya, polis turut merampas 19 keping kad pengeluaran wang automatik (ATM) pelbagai bank daripada suspek yang didaftarkan atas nama beberapa individu warga Indonesia, telefon bimbit, empat keping kad prabayar dan wang tunai sejumlah RM8,600.
"Selain itu, kami juga merampas senarai nama mangsa serta nama-nama sekolah di seluruh negara, resit jualan emas, satu buku catatan dan lima buku akaun simpanan Lembaga Tabung Haji.
"Suspek yang merupakan penganggur dipercayai mempunyai senarai nama kontraktor dan sekolah sebelum dia menyamar sebagai pegawai dari Kementerian Pelajaran, Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) dan Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) untuk menawarkan pelbagai tender kepada kontraktor," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) di sini hari ini.
Dalam pada itu, Roslee memberitahu, sekiranya kontraktor berminat, mereka diminta membayar wang deposit RM2,000 hingga RM4,000 bagi setiap projek tender melalui akaun bank suspek.
"Suspek kemudian akan meminta mangsa berjumpanya di pejabat JPN tetapi suspek tidak pernah muncul menyebabkan mangsa menyedari telah ditipu," ujarnya.
Menurutnya, suspek ditahan reman sehingga esok bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun, denda dan sebatan jika sabit kesalahan.
Sementara itu, Roslee berkata, walaupun pihaknya menerima 16 kes penipuan di seluruh Pulau Pinang tetapi polis percaya ramai lagi mangsa yang tertipu belum membuat laporan.
"Saya minta mereka yang kena tipu agar tampil dan membuat laporan polis bagi membantu siasatan," katanya.

No comments:

Post a Comment