Search This Blog

Wednesday, May 9, 2012

Lelaki maut digigit anjing ketika joging

Berita Harian Online | Lelaki maut digigit anjing ketika joging:

Mangsa parah di leher, putus telinga kanan
POLIS memeriksa mayat Yip yang maut diserang anjing ketika berjoging di perumahan  Seksyen 19/5B, Subang Jaya, semalam. Gambar kecil, anjing Pitbull Terrier yang menyerang mangsa.
POLIS memeriksa mayat Yip yang maut diserang
anjing ketika berjoging di perumahan Seksyen
19/5B, Subang Jaya, semalam. Gambar kecil,
anjing Pitbull Terrier yang menyerang mangsa.
SUBANG JAYA: Rutin harian seorang lelaki warga emas yang berjoging sejak 20 tahun lalu bertukar tragedi, apabila maut diserang seekor anjing di kawasan perumahan di Seksyen 19/5B, di sini, pagi semalam.
Mangsa, Yip Sun Wah, 74, mati di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di leher dan putus telinga kanan selepas bergelut dengan anjing jenis ‘Pitbull Terrier’ hampir lima minit.
Dalam kejadian jam 9.50 pagi itu, mangsa yang sedang berjoging di sekitar kawasan perumahannya itu secara tiba-tiba diserang seekor anjing yang keluar dari kandang sebuah rumah, menyebabkannya terjatuh sebelum leher dan telinga mangsa digigit haiwan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Yahaya Ramli, berkata mangsa yang mengalami kecederaan parah dan pendarahan teruk mati di tempat kejadian, sebelum mayatnya dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk bedah siasat.

Katanya, siasatan awal polis mendapati, pemilik anjing berkenaan tidak mengikat binatang berkenaan dan ia dipercayai keluar melalui pintu sampah sebelum menyerang mangsa yang sedang berjoging di kawasan berkenaan.

“Ini insiden pertama berlaku di kawasan perumahan berkenaan dan mangsa yang tinggal kira-kira 200 meter dari lokasi kejadian hampir setiap hari berjoging sejak 20 tahun lalu,” katanya di lokasi kejadian, semalam. 
Beliau berkata, pemeriksaan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Selangor mendapati pemilik mempunyai lesen sah membela anjing jenis ‘Pitbull Terrier’ yang dipeliharanya sejak tiga bulan lalu.

Katanya, polis akan mengambil keterangan pemilik binatang berkenaan dalam tempoh terdekat dan kes disiasat mengikut Seksyen 304(A) Kanun Keseksaan.

Sementara itu, isteri mangsa, Lim Yoke Kim, 73, berkata dia dimaklumkan kejadian menimpa suaminya itu seorang penduduk sebelum bergegas ke lokasi kejadian.

Bagaimanapun, katanya, sebaik dia dan empat anak lelakinya tiba, suaminya sudah meninggal dunia.

“Sejak bersara 20 tahun lalu, hampir setiap hari suami saya akan berjoging di sekitar kawasan perumahan kira-kira sejam, namun saya tidak menyangka ia bertukar tragedi sehingga membawa maut, katanya.

No comments:

Post a Comment