Search This Blog

Sunday, May 27, 2012

Konon cari sampah

MELAKA: “Saya tersentak bila lelaki itu merentap beg tangan dipegang di tangan kiri dan tidak melepasnya lalu berlaku tarik-menarik. Saya menjerit sekuat hati minta tolong sebelum lelaki itu menghayun penumbuk tepat ke muka saya,” kata mangsa samun, Siti Sarah Abu Bakar, 29, yang juga petugas di Kaunter Khidmat Pelanggan sebuah bank di Jalan Bendahara, di sini, yang menjadi mangsa samun, petang kelmarin.
Dalam kejadian jam 5 petang, suspek dipercayai berpura-pura mencari sampah sebelum menyamun beg tangan mangsa selepas mendapati tiada orang di tempat kejadian.

Menurut Siti Sarah, ketika kejadian dia menuju ke arah tempat letak kereta di Jalan Bendahara bersebelahan sebuah medan selera di situ.
Katanya, keadaan di situ lengang dan dia tidak perasan dari mana penjenayah itu datang.

“Saya tak nampak sesiapa yang mencurigakan ketika keluar dari pejabat, tapi memang saya dengar bunyi motosikal ditunggang seorang lelaki menuju ke arah tong sampah.

“Saya tak syak apa-apa kerana menyangka dia hendak mengutip sampah dan berjalan seperti biasa sambil memegang beg tangan yang tidak bertali.
“Tiba-tiba lelaki itu muncul di belakang ketika saya membuka pintu kereta dan terus merampas beg tangan. Saya memegang kuat beg dengan kedua-dua tangan dan dapat melihat wajah lelaki itu yang memakai topi keledar dalam keadaan bengis dan menjegilkan mata kepada saya.

“Biarpun menjerit sekuat hati, tiada orang datang menolong sebelum lelaki itu menumbuk muka, menyebabkan saya sakit dan melepaskan beg tangan itu selepas tarik-menarik dua hingga tiga minit,” katanya ketika ditemui di Taman Semabok Perdana, di sini.
Menurut Siti Sarah yang membuat laporan di Balai Polis Melaka Tengah di Jalan Banda Kaba, jam 5.45 petang, dia cuba mengejar lelaki itu yang melarikan diri menaiki motosikal ke arah Jalan Bendahara.

“Saya sempat mengecam nombor pendaftaran motosikal itu dan saya anggarkan lelaki itu berusia lingkungan 30-an dan berbadan tegap.

“Beg tangan saya mengandungi lesen memandu, kad pengenalan, kad mesin juruwang (ATM) dan wang tunai RM50,” katanya yang trauma dengan kejadian itu.

Siti Sarah berkata, dia difahamkan sebelum ini kejadian ragut sering berlaku di kawasan itu, termasuk membabitkan pelanggan bank, dan polis juga kerap membuat rondaan cegah jenayah.

Dalam perkembangan sama, mangsa berkata, dia kesal dengan sikap anggota polis yang menerima laporan kerana mempersendakan kejadian berlaku ke atas dirinya.

“Saya kesal kerana anggota polis di kaunter itu meminta saya tidak memperbesarkan kes hanya disebabkan kerugian RM50 dan berkata tidak perlu memasukkan fakta saya ditumbuk penjenayah itu.

“Anggota terbabit mengatakan jika saya memasukkan fakta itu, mereka perlu membuat siasat panjang, tapi saya berkeras supaya ia ditulis dalam laporan saya,” katanya.

Ketua Polis Melaka, Datuk Chuah Ghee Lye ketika dihubungi bagi mengulas insiden itu, turut kesal dengan sikap anggota terbabit dan berjanji akan menyiasat perkara itu.

No comments:

Post a Comment