Search This Blog

Sunday, May 27, 2012

Kereta terbalik di LDP, pemandu maut

Kereta terbalik di LDP, pemandu maut
Keadaan kereta mangsa yang terbunuh dalam kemalangan awal pagi tadi.
PUCHONG –  Seorang lelaki maut dalam kemalangan di KM 26.8 Lebuh Raya Damansara Puchong (LDP) di sini, awal pagi ini, dipercayai akibat memandu dengan laju.

Dalam kejadian kira-kira jam 3 pagi itu, mangsa Kong Nyuk Lin, 40, yang memandu kereta jenis Proton Saga dipercayai menghala ke selatan lebuh raya dalam perjalanan pulang ke rumahnya.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Yahaya Ramli berkata, siasatan awal mendapati mangsa dikatakan memandu dalam keadaan laju di bahagian selekoh lebuh raya berdekatan persimpangan lampu isyarat Puchong Perdana.

Menurutnya,akibat gagal mengawal pemanduan, kereta mangsa dikatakan terbabas melanggar besi pembahagi jalan dan terbalik di lorong kiri lebuh raya.

“Mangsa tersepit dalam kereta dipandunya dan mengalami kecederaan parah di bahagian kepala.

“Anggota polis dan orang ramai mengeluarkan mangsa dari keretanya yang remuk. Anggota perubatan mengesahkan mangsa meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Serdang untuk dibedah siasat.

Sehubungan itu, mereka yang menyaksikan kejadian diminta menghubungi Bahagian Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya menerusi talian 03-78627222 untuk membantu siasatan

No comments:

Post a Comment