Search This Blog

Sunday, May 27, 2012

Kanak-kanak didera ibu kandung sendiri


IBU saudara kanak-kanak yang menjadi mangsa dera menenangkan anak saudaranya itu yang takut dan menangis apabila jurugambar merakamkan gambarnya di Hospital Raja Permaisuri Bainun di Ipoh, semalam.
IPOH 25 Mei - Dengan usia yang baru menginjak tiga tahun, tiada yang terdaya dilakukan oleh kanak-kanak selain daripada menangis apabila disakiti.
Lebih memeritkan apabila kesakitan akibat penderaan yang ditanggung terpaksa dipendam kerana ia dilakukan oleh ibu kandung sendiri.
Itulah nasib seorang kanak-kanak perempuan yang mengalami trauma kerana dipercayai sering didera ibunya di rumah mereka di Kampung Chui Chak, Langkap, dekat sini.
Kejadian itu disedari bapa mangsa apabila membawa anaknya ke sebuah klinik Sabtu lalu bagi menjalani pemeriksaan setelah mendapati rambut mangsa gugur dengan teruk.
Hasil pemeriksaan mendapati, kanak-kanak itu bukan sahaja dipukul di seluruh anggota badan, malah, terdapat kesan gigitan pada tubuh mangsa.
Berikutan itu, satu laporan polis dibuat ibu saudara kanak-kanak itu di Balai Polis Chui Chak pada keesokan harinya dan mangsa dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk mendapatkan rawatan.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Senator Datuk Heng Seai Kie yang melawat mangsa di HRPB berkata, mangsa disyaki telah lama didera berikutan penemuan kesan kecederaan lama dan baru di sekitar leher, telinga serta badannya.
Katanya, tindakan kejam ibu mangsa yang berusia 25 tahun dan merupakan rakyat Vietnam itu sukar dikesan apabila dia sering memakaikan anaknya dengan baju bertutup, dipercayai untuk mengelak perbuatannya terbongkar.
"Perbuatan suspek akhirnya dapat dikesan apabila bapa kanak-kanak itu sendiri yang membawa anaknya ke hospital selepas melihat rambut anaknya gugur dengan teruk.
"Kita turut melakukan pemeriksaan terhadap abang kanak-kanak itu yang berusia tiga tahun namun, hasil pemeriksaan mendapati dia tidak didera," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Ditanya berhubung penempatan mangsa selepas ini, Seai Kie berkata, sebarang keputusan berhubung perkara itu akan diputuskan berdasarkan keselesaan dan keselamatan mangsa.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Goh Kok Liang ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan tersebut.
Katanya, bertindak atas laporan tersebut, pihak polis telah menahan ibu bapa kanak-kanak itu di rumah mereka bagi membantu siasatan.
"Kedua-dua suspek ditahan reman sehingga esok dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001," katanya.

No comments:

Post a Comment