Jururawat rembat RM60,000
Amin menunjukkan buku akaun bank miliknya yang tercatat beberapa jumlah pengeluaran wang yang dilakukan bekas isterinya.
PENDANG – Seorang pesara tentera dekat Kampung Air Puteh Dalam, di sini bertindak membuat laporan polis setelah menyedari bekas isterinya memalsukan cek berjumlah RM60,000 yang diperuntukkan pihak Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kepadanya.

Amin Abdullah, 44, (bukan nama sebenar) tidak sempat menghabiskan kursus peralihannya selama lapan bulan setelah terlibat dengan kemalangan jalan raya ketika dalam perjalanan menghadiri kursus itu di Sungai Petani pada Julai 2009.

Menurutnya, disebabkan kemalangan itu, dia koma selama tiga minggu dan hilang ingatan selama tiga tahun menyebabkan bekas isterinya meminta fasakh kerana mendakwa dia tidak waras selepas kemalangan itu.

Namun, Amin berkata, lebih menyedihkan apabila bekas isterinya yang merupakan seorang jururawat sebuah hospital kerajaan bertindak memalsukan cek miliknya yang diperuntukkan ATM untuk rawatannya daripada insurans kelompok ATM.

“Selepas sedar, saya tertanya-tanya dimana duit insurans saya dan merujuk perkara itu kepada pihak ATM dan difahamkan bahawa mereka telah menyerahkan cek itu dan bertindak mengemas kini buku simpanan di sebuah bank dekat Kuala Lumpur.

“Pihak bank memaklumkan bahawa cek itu telah dimasukkan di sebuah bank dekat Pulau Pinang dan kesemuanya telah dikeluarkan pula di bank yang sama di cawangan Bidong Kedah. Ia menyebabkan saya hairan kerana bagaimana wang itu boleh dikeluarkan tanpa menggunakan buku simpanan atau kad pengenalan,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, kejadian itu menyebabkan dia bertindak membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Sungai Petani.

Amin yang berkhidmat dalam ATM selama 22 tahun begitu mengharapkan wang insurans itu untuk menampung keperluan hidupnya memandangkan kemalangan dilaluinya menyebabkan dia tidak berupaya untuk bekerja.

“Kehidupan saya pada masa ini hanya bergantung kepada wang pencen yang diterima saya bersama wang bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM150 sebulan, memandangkan saya masih memerlukan rawatan perubatan melibatkan kos ubat dan kos terapi kira-kira RM500 sebulan,” katanya.

Sementara itu, mana-mana pihak yang ingin menghulurkan bantuan boleh menyumbang melalui akaun Lembaga Tabung Haji di nombor 030401000140166.