Search This Blog

Sunday, May 27, 2012

Ibu rayu Along pulang

Ibu rayu Along pulang
Siti Rohani menunjukkan gambar anak sulungnya, Siti Hajar Aziz, 21, yang
meninggalkan rumah dua bulan lalu selepas membuat laporan polis, baru-baru ini.
ALOR GAJAH - “Along, tidak guna kita bersengketa begini. Pulanglah.. Kita semua rindukan Along,” begitulah luahan seorang ibu, Siti Rosnani Adullah, 39, selepas anaknya, Siti Hajar Aziz, 21, meninggalkan rumah sejak dua bulan lalu.

Rosnani dari Kampung Permatang, Kuala Sungai Baru, di sini, berkata, anak sulung lapan beradik itu keluar rumah kira-kira pada jam 12 tengah hari dua bulan lalu selepas ditegur.

“Ibu mana yang tidak risau apabila anak gadis keluar rumah dari pagi hingga ke lewat malam, kemudian bila kita nasihat dia melenting, tidak boleh terima apa yang kita cakap.

“Saya risau bila dapat tahu dia (Along) berkawan dengan ramai lelaki. Bukan hendak menyekat kebebasannya tetapi lelaki yang dia kenal semuanya saya tak berkenan,” katanya.

Menurutnya, sejak arwah suaminya meninggal dunia sepuluh tahun lalu, anak sulungnya itu berubah sikap dan setiap teguran tidak mendatangkan kesan buat dirinya.

“Ketika usianya 16 tahun, along terpaksa berhenti sekolah akibat dihimpit masalah keluarga. Sejak itu, dia kerap keluar rumah dan balik rumah tidak tentu masa.

“Selepas perlakuannya itu ditegur, dia mula meninggikan suara dan memarahi adiknya yang lain. Malah, memberi amaran supaya jangan ganggu hidupnya.

“Setahun sebelumnya, dia pernah tinggal serumah bersama seorang lelaki dan saya ada menegurnya. Jika dia mahu berkahwin, buatlah dengan cara yang elok.

Kemudian, selepas ditegur dia terus keluar rumah,” katanya yang membuat laporan di Balai Polis Kuala Sungai Baru, di sini, bersama sepupunya, Arfazila Roslan, 24.
Menurutnya, dia berharap  orang ramai dapat membantu sekiranya mengenali anaknya itu dan segera menghubungi Arfazila di talian 017-3378790.

“Saya tidak tahu di mana dia berada sekarang. Puas saya mencarinya tetapi hingga sekarang masih belum ditemui sedangkan telefon bimbitnya masih berfungsi.

“Individu yang mengenali atau mengetahui di mana Along berada diminta menghubungi balai polis berdekatan atau sepupunya, Arfazila,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

No comments:

Post a Comment