Search This Blog

Sunday, May 27, 2012

Hanya orang Islam boleh dilantik PM: Nik Aziz

MACHANG: Hanya pemimpin Islam boleh memegang jawatan Perdana Menteri di negara ini, bukannya soal bangsa yang akan menentukan siapa akan menjadi ketua kerajaan.

Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat, yang menegaskan perkara berkenaan berkata, Perdana Menteri perlulah seseorang yang beragama Islam kerana individu
itu akan memimpin umat Islam. "Nak bukan Melayu tidak apa, asalkan beragama Islam, mana boleh pimpin Islam kalau (pemimpin) tidak (beragama) Islam.

"(Contohnya) negeri demokrasi, adakah (jawatan) diberi kepada (pemimpin) komunis, negeri komunis pula adakah dia akan beri kepada orang demokrasi? tak ada... negeri komunis maka (pemimpin) komunis yang pegang, negeri demokrasi maka (pemimpin) demokrasi pegang.

"Negeri Islam, maka orang Islamlah pegang, jadi bangsa apa pun tak peduli," katanya selepas merasmikan Muktamar Dewan Ulama PAS Negeri Kelantan di Markaz Dewan Ulama (MADU) Labok, di sini, semalam.

Akhbar sebelum ini melaporkan Pengerusi DAP, Karpal Singh sebagai berkata, beliau akan terus berjuang untuk memastikan bukan Melayu memegang jawatan Perdana Menteri dengan alasan tiada undang-undang menghalang orang bukan Melayu memegang jawatan itu, tetapi mengaku tersasul apabila menyatakan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng harus dilantik sebagai Perdana Menteri.
Sementara itu, Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS, Nik Mohamad Abduh Nik Aziz, berkata kenyataan Karpal itu adalah bersifat peribadi dan ia tidak menjejaskan sokongan terhadap parti.

Beliau yang senada dengan Mursyidul Am PAS berhubung isu bukan Islam sebagai Perdana Menteri bagaimanapun berkata, orang Melayu yang beragama Islam adalah penduduk majoriti di negara ini.

Sehubungan itu, katanya, PAS akan menolak sekiranya Perdana Menteri yang dicadangkan Karpal itu bukan beragama Islam.

"Cuma kita melihat dalam konteks semasa, orang Melayu adalah Muslim (adalah) majoriti di negara ini, jadi kalau Karpal sebut mengenai bangsa, kita tak kisah tapi kalau bukan Muslim nak jadi Perdana Menteri, itu kita tolaklah," katanya.

No comments:

Post a Comment