Search This Blog

Thursday, May 31, 2012

Gagal rompak mesin ATM

KUALA LUMPUR 29 Mei - Seorang pengurus sebuah pasar raya di Jalan Pantai Murni, Pantai Dalam di sini tidak menyangka alat penggera di premisnya yang berbunyi ketika dia mahu memulakan operasi pagi ini rupa-rupanya berpunca daripada cubaan merompak di kedainya.
Muhamad Rosli Muhamad, 40, berkata, ketika ke pasar raya itu, dia terdengar bunyi penggera dari dalam dan menyangka sistem penggera keselamatan itu rosak.
Bagaimanapun, setelah diperiksa, dia terkejut apabila melihat sebuah mesin pengeluaran wang automatik (ATM) yang ditempatkan dalam pasar raya itu berlubang dengan kesan dibakar.
"Bunyi kuat itu berpunca dari penggera keselamatan ATM berkenaan dan saya tidak menyangka satu kejadian rompakan berlaku meskipun tidak melihat apa-apa yang mencurigakan dari luar.
"Berdasarkan keadaan di situ, saya yakin penjenayah menggerudi selain membakar ATM itu setelah mereka mengumpil pintu kaca dan memecahkan pintu kayu pasar raya ini," katanya ketika ditemui di tempat kejadian hari ini.
Muhamad Rosli berkata, ini merupakan kali pertama kejadian berlaku sejak pasar raya ini beroperasi 10 tahun lalu.
Beliau percaya cubaan merompak itu berlaku pada awal pagi kerana penduduk sekitar premis itu terdengar bunyi alat penggera itu kira-kira pukul 3 pagi.
"ATM yang ditempatkan dalam pasar raya ini tidak mempunyai kelengkapan CCTV kerana ia hanya dipasang di bahagian kaunter pasar raya," katanya sambil memberitahu, pihak pengurusan sedang menyiasat kerugian lain yang dialami dalam kejadian itu.
Sementara itu, Ketua Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Datuk Ku Chin Wah berkata, tiada kerugian dalam rompakan berkenaan kerana ATM itu gagal dipecahkan.

No comments:

Post a Comment