Search This Blog

Sunday, May 27, 2012

Empat sekeluarga nyaris maut

Empat sekeluarga nyaris maut
Kesan simen yang berlubang akibat dipanah petir malam Rabu lalu.
KOTA BHARU - Empat sekeluarga nyaris maut, selepas rumah mereka disambar petir, di Kampung Chekok, di sini, Rabu lalu.

Kejadian kira-kira jam 9.30 malam itu menyebabkan fius utama di samping siling dan simen dalam sebuah bilik keluarga terbabit musnah.

Mangsa, Anuar Mohamad Ismail, 37, berkata, ketika itu, dia bersama isteri Noreha Mat, 31, dan dua anaknya berada di dapur mengemas lori, bagi menghantar pesanan tong gas ke rumah pelanggan.

“Semasa sibuk mengemas di dapur, hujan agak lebat di luar, namun kami tidak endahkannya dan terus mengemas, tiba-tiba saya terdengar bunyi dentuman yang kuat di ruang utama.

Kami bergegas keluar dan melihat suis terbakar dan kotaknya turut hancur di samping simen di sebuah bilik turut berlubang dipanah petir,” katanya.

Anuar berkata, akibat peristiwa itu, dia mengalami kesan trauma dan bimbang akan keselamatan mereka sekeluarga.

“Ini merupakan kejadian pertama rumah ini disambar petir sejak setahun tinggal di sini.

Mujurlah ketika kejadian saya, isteri dan anak-anak berada di dapur, jika tidak mungkin kami turut disambar petir.

“Saya harap pihak berwajib dapat menjalankan siasatan terhadap kes ini kerana ia membahayakan kami sekeluarga termasuk penduduk di kawasan ini,” katanya kepada Sinar Harian.

Anuar berkata, kejadian itu juga menyebabkan beberapa biji mentol di rumah jirannya turut pecah.

“Sebulan lalu, saya pernah melihat pokok pisang di kawasan luar yang jaraknya hanya 20 meter dari rumah, dipanah petir dan menyebabkan hampir lima pokok pisang rosak akibat kejadian itu,” katanya.

Menurutnya, perkara itu perlu perhatian pihak berwajib bagi mengelakkan kejadian terbabit berulang, dan boleh mengorbankan nyawa dan mengundang musibah kepada lebih 10 penghuni di beberapa buah rumah di kawasan itu.

No comments:

Post a Comment