Search This Blog

Sunday, May 27, 2012

Empat menyamar polis dicekup


KOTA KINABALU 25 Mei - Tindakan empat lelaki menyamar sebagai anggota polis kononnya untuk mengawal lalu lintas semasa perayaan Pesta Kaamatan Pertubuhan Pasok Momogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO) di Dewan Serbaguna Tanjung Aru di sini, Ahad lalu, memakan diri apabila mereka gagal menunjukkan kad kuasa.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Supritendan M. Chandra berkata, semasa kejadian, kesemua suspek memakai pakaian biasa, tetapi berlagak seperti anggota polis mengawal lalu lintas.
Katanya, bertindak atas aduan, seorang anggota polis telah meminta mereka yang mengaku dari Ibu Pejabat Polis Bukit Aman menunjukkan kad kuasa menyebabkan suspek panik dan melarikan diri.
"Anggota polis itu mengejar dan berjaya memberkas seorang daripada suspek berusia 21 tahun yang bekerja sebagai mekanik dan merupakan warga Indonesia," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Tambah Chandra, suspek ditahan reman selama lima hari bagi membantu siasatan dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan kerana menyamar sebagai anggota polis.
"Polis kini memburu tiga lagi suspek yang melepaskan diri," katanya.

No comments:

Post a Comment