Search This Blog

Wednesday, May 9, 2012

Ejen bersenjata buru pembayar cukai

Utusan Malaysia Online - Luar Negara:


BRASILIA 8 Mei - Sekumpulan ejen yang lengkap bersenjata akan terbang ke seluruh negara ini menaiki helikopter, mengetuk pintu rumah mereka yang dikenal pasti dan mengundang ketakutan kepada sesiapa yang melanggar undang-undang.
Namun, ejen tersebut bukan anggota polis, sebaliknya daripada agensi pemungut cukai, Perkhidmatan Hasil Persekutuan, yang terkenal di seluruh dunia dengan penggunaan taktik kreatif dan kerasnya, menjadi satu daripada kunci utama prospek ekonomi Brazil pada tahun ini.
Presiden Dilma Rousseff mengharapkan keberanian anggota daripada agensi pemungut cukai itu akan dapat membantu kerajaan mencapai sasaran bajet yang telah ditetapkan, tanpa diganggu keadaan ekonomi negara yang sedikit goyah.
Terkenal dengan 'singa' sebagai lambang rasminya dan juga mengejar individu yang cuba mengelak membayar hutang melalui kaedah keterlaluan, pelbagai taktik digunakan bagi memastikan individu dan syarikat terbabit mengisytihar serta membayar cukai mereka kepada kerajaan.
Operasi terbaru agensi itu menggunakan nama seperti 'harimau kumbang hitam' dan 'delta' yang biasanya dikaitkan dengan pasukan khas tentera.
Agensi itu turut menggunakan helikopter bagi mengukur luas dan nilai kediaman jutawan bagi memastikan mereka membayar cukai secara konsisten.
Tiada sesiapa yang terkecuali, Rousseff sendiri pernah disiasat pada 2009, ketika beliau memegang jawatan menteri dalam kerajaan terdahulu, kerana menurutnya berlaku satu kesilapan berkenaan pemulangan cukainya.
Namun, kaedah yang digunakan agensi tersebut turut mengundang rungutan di kalangan penduduk di negara ini.
Mereka berpendapat kemudahan infrastruktur, pendidikan dan perkhidmatan lain di negara ini tidak setimpal dengan cukai yang mereka sumbangkan.
Namun, ada juga yang memuji tindakan itu kerana ia meletakkan Brazil dalam sejarah pungutan cukai tersendiri di kalangan negara Amerika Latin.
"Apabila berbicara mengenai kutipan cukai, rakyat Brazil menjadi contoh terbaik, bukan sahaja di benua Amerika Selatan, malah di seluruh dunia," kata seorang penganalisis dari New York, Italo Lombardi. - REUTERS

No comments:

Post a Comment