Search This Blog

Thursday, May 31, 2012

Dua diberkas seludup syabu 11.2kg


Abd. Aziz Abdul Latif (tengah), Wan Shaari Wan Mahmud (kiri) dan Muhammad Marzuki Ahmad menunjukkan syabu yang disorokkan dalam dua beg di Bukit Kayu Hitam, Kedah, semalam.
KUBANG PASU 30 Mei - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menahan dua wanita tempatan di Kompleks Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bukit Kayu Hitam di sini semalam kerana disyaki cuba menyeludup dadah jenis syabu seberat 11.2 kilogram bernilai RM3.03 juta.
Pengarah JKDM Kedah, Datuk Abd. Aziz Abdul Latif berkata, suspek pertama seorang wanita berusia 26 tahun dari Kuching, Sarawak ditahan ketika mengikrarkan bagasi di Unit Bas/Jalan Kaki Lorong Pemeriksaan Bas Kompleks CIQ kira-kira pukul 11.55 pagi.
Suspek kedua dipercayai rakan wanita itu berusia 24 tahun pula ditahan di dalam sebuah bas setelah dia melepasi pemeriksaan di Kompleks CIQ pada pukul 12.10 tengah hari.
"Dadah jenis syabu yang disorokkan dalam bagasi kedua-dua wanita terbabit adalah terbesar pernah dirampas di negeri ini tahun ini.
"Kita percaya kedua-dua suspek berasal dari Sarawak ini merupakan ahli sindiket penyeludupan sama kerana bentuk bungkusan dan jumlah dadah dibawa mereka hampir sama," katanya pada sidang akhbar di pejabat JKDM Bukit Kayu Hitam hari ini.
Hadir sama, Penolong Pengarah Kastam (Ketua Unit Penumpang) Bukit Kayu Hitam, Wan Shaari Wan Mahmud dan Penolong Kanan Pengarah Kastam (Penguatkuasaan) Bukit Kayu Hitam, Muhammad Marzuki Ahmad.
Abd. Aziz berkata, setiap bagasi dibawa dua wanita berkenaan masing-masing tersembunyi tiga bungkusan plastik warna coklat berisi serbuk hablur putih dadah jenis syabu.
"Kita mengesyaki suspek terlibat dalam penyeludupan setelah curiga dengan isi kandungan pakaian dibawa mereka kerana ia tidak begitu banyak tetapi berat dan setelah diperiksa, kami menemui sejumlah dadah disembunyikan di lapisan bawah beg," katanya.
Menurutnya, kedua-dua suspek direman seminggu bermula semalam dan siasatan dilakukan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Beliau berkata, siasatan awal pihaknya mendapati, kedua-dua suspek kerap ke luar negara dan destinasi dituju adalah Bangkok dan India.

No comments:

Post a Comment