Cedera ditimpa siling
Muhd Syahzakwan Sedek, 12 melakonkan semula aksi cemas ketika Mustapha ditimpa siling dalam kejadian ribut itu
CHEMOR, Ipoh - Hujan lebat diiringi ribut kuat menyebabkan 22 rumah rosak dalam kejadian di Kampung Ulu Kuang, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 petang itu, tujuh daripada rumah di situ mengalami kerosakan teruk kerana bumbung diterbangkan angin termasuk ada yang dihempap pokok dalam kejadian yang berlaku dalam tempoh satu jam itu.

Seorang warga emas, Mustapha Dahalan, 67, kurang bernasib baik apabila kepalanya cedera ditimpa siling dapur selepas bumbung rumahnya dihempap tiga pokok.

Abang mangsa, Salleh Dahalan, 73, ketika ditemui sempat menceritakan pengalaman yang menimpa keluarganya itu.

Menurutnya, sewaktu kejadian, dia yang berada di hadapan rumah melihat gulungan angin muncul menumbangkan pokok di sekitar kawasan rumah adiknya.

“Selepas melihat gulungan angin itu, saya ke bahagian dapur dan melihat adik (Mustapha) sedang menutup tingkap dapur sebelum bunyi dentuman kuat menimpa bumbung.

“Adik saya yang berada di dapur tidak sempat menyelamatkan diri, dia cedera selepas siling menimpa kepalanya,” katanya yang bercuti di rumah adiknya sejak Selasa lalu.

Katanya, ketika kejadian seramai 11 ahli keluarga berada dalam rumah berkenaan termasuk warga emas dan kanak-kanak.

Sementara itu, Adun Hulu Kinta, Datuk Rusnah Kassim berkata, sejurus menerima berita kejadian itu, sepasukan anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Ipoh dan Sungai Siput tampil membantu.

“Tenaga Nasional Berhad (TNB) turut memotong sementara bekalan elektrik di kawasan terbabit demi keselamatan penduduk setempat,” katanya yang dijangka akan memberi bantuan kepada mangsa dalam tempoh terdekat.