Search This Blog

Saturday, May 5, 2012

Bunuh 3 anak: Bekas jaga kekal digantung



PUTRAJAYA 2 Mei - Seorang bekas pengawal keselamatan terpaksa menerima hakikat hayatnya akan berakhir di tali gantung selepas Mahkamah Persekutuan hari ini menolak rayuan akhirnya terhadap sabitan dan hukuman tersebut atas kesalahan membunuh tiga anaknya yang masih di bawah umur, lapan tahun lalu.
Panel lima hakim diketuai oleh Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Richard Malanjum sebulat suara menolak rayuan P. Vellertore, 52, selepas berpuas hati bahawa pembelaannya merupakan penafian semata-mata.
Mahkamah berpendapat, tiada asas bagi menolak keterangan pakar jiwa yang merumuskan bahawa perayu menyedari perbuatannya walaupun ketika itu dia mengalami tekanan.
Sehubungan itu, panel tersebut berpuas hati bahawa sabitan dan hukuman Mahkamah Tinggi Johor Bahru, Johor pada 7 April 2010 dan Mahkamah Rayuan yang mengekalkannya, selamat dan tidak wajar diubah.
Empat lagi hakim yang turut bersidang dalam panel tersebut ialah Datuk Hashim Yusoff, Datuk Suriyadi Halim Omar, Datuk Ahmad Maarop dan Datin Paduka Zaleha Zahari.
Perayu diwakili oleh peguam-peguam, Suzanawati Ismail dan Salim Bashir manakala pendakwaan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Huda Nur'aini Mohd. Noor.
Laporan akhbar menyebut, Vellertore menangis sambil menjerit-jerit ketika hakim bicara di Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman terhadapnya sambil bersumpah menyatakan dia tidak membunuh ketiga-tiga mangsa.
Hakim bicara berpendapat, walaupun memahami keadaannya yang tertekan akibat ditinggalkan isteri dan perlu menyara empat anak pada masa yang sama, dia tidak berhak mengambil nyawa mereka.
Lelaki tersebut disabitkan membunuh tiga daripada empat anaknya, Rudraa Kumar, 6, Kessaprata, 5, dan Harini, 3, di rumah mereka di Taman Muhibbah, Saleng, Kulaijaya antara pukul 10.30 pagi dan 3.30 petang, 20 November 2004.
Dia yang dilaporkan cuba menggantung diri selepas itu bagaimanapun berjaya diselamatkan oleh jiran yang menyedari kejadian tersebut.

No comments:

Post a Comment