Search This Blog

Sunday, May 27, 2012

Bapa laung azan ketika api marak ke seluruh rumah

Bapa laung azan ketika api marak ke seluruh rumah
Che Hassan menunjukkan keadaan rumahnya yang musnah dalam kebakaran
berlaku awal pagi itu.
DUNGUN– "Saya laungkan azan sekuat hati ketika melihat api marak dan merebak ke seluruh rumah." Demikian kata Che Hassan Che Ali, 52, menceritakan saat cemas rumahnya hangus dalam kejadian kebakaran di sini, awal pagi kelmarin.

Dalam kejadian itu rumahnya hangus sama sekali dan kini Che Hassan buntu memikirkan mereka 10 beranak tinggal sehelai sepinggang.

Menceritakan tragedi yang berlaku kira-kira jam 1 pagi itu, Che Hassan ketika itu sedang tidur bersama isteri, Zaiton Hassan, 48, sebelum salah seorang anaknya, Siti Nur Jahar, 22, mengejutkannya sebaik menyedari dapur rumahnya terbakar.

“Saya dan anak-anak tidak mampu berbuat apa-apa kecuali melaungkan azan sekuat hati.

“Jiran kami cuba membantu memadamkan api namun api yang marak dengan cepat menyebabkan rumah kami hangus semuanya,” katanya.

Kata Che Hassan, pakaian, perabot dan peralatan sekolah anaknya semua sudah jadi abu.

"Saya dan keluarga kini terpaksa menumpang di rumah mentua, saya buntu memikirkan bagaimana untuk memulakan hidup baru," katanya.

Sementara itu, Ketua Balai dan Penyelamat Kuala Dungun, Nor Azizi Che Ngah berkata, anggotanya mengambil masa beberapa minit untuk memadamkan kebakaran dan mengawalnya daripada merebak ke kawasan berhampiran.

Menurutnya, pihaknya masih menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca kebakaran tersebut.

No comments:

Post a Comment