Search This Blog

Sunday, May 27, 2012

Bapa ayam guna laman web cari pelanggan

KUALA LUMPUR: Sindiket pelacuran di negara ini seolah-olah peka dengan perkembangan di luar negara apabila turut menggunakan kemudahan teknologi maklumat (IT) seperti e-mel dan laman web bagi menawarkan perkhidmatan kepada pelanggan, selain menyukarkan pihak berkuasa mengesan kegiatan mereka.
Ketua Unit Keselamatan Siber, Bahagian Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Superintendan Victor Sanjos berkata, pihaknya menyedari kegiatan sindiket pelacuran yang menggunakan laman web sebagai perantara untuk mencari pelanggan.

“Di luar negara, sindiket pelacuran menggunakan Internet untuk mempromosi kegiatan berkenaan sudah lama berlaku. Di Malaysia, ia makin bertambah mungkin kerana permintaannya memberangsangkan dan kurangnya laporan polis dilakukan pengguna Internet.
“Bagaimanapun, kami ada cara tersendiri untuk mengesan sindiket terbabit. Polis juga menjalankan kerjasama dengan agensi lain, terutama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi membanteras jenayah seperti ini,” katanya.

Menurut Victor, orang ramai yang tahu kewujudan pelbagai laman web seperti itu harus membuat laporan polis dalam usaha menangani masalah terbabit.

“Mengikut Seksyen 233 (Akta Komunikasi dan Multimedia 1998) iaitu kanun salah guna rangkaian, mana-mana kandungan yang membuatkan individu atau syarikat berasa tersinggung, malu, aib atau fitnah menerusi kandungan daripada sesuatu laman web boleh membuat laporan polis.
“Saya sarankan orang ramai yang tahu kewujudan laman web seperti ini segera memberitahu polis atau SKMM bagi membantu menangani masalah ini.

“Selain polis, SKMM bertanggungjawab menyekat sesuatu laman web daripada diakses dan jika mendatangkan aktiviti tidak sihat, polis akan meminta ia disekat serta-merta dan mengesan di mana mereka beroperasi bagi membolehkan serbuan dijalankan,” katanya.

No comments:

Post a Comment