Anak dilarikan bekas isteri
Asrulmulah menunjukkan perintah mahkamah yang dikeluarkan Mahkamah Syariah.
KUALA LIPIS - “Hidup saya kini merana apabila bekas isteri membawa lari anak kedua kami, Muhammad Zulkhairi, 6, yang sepatutnya di bawah jagaan saya sejak enam bulan lalu,”

Itulah rintihan Asrulmulah Dorok @ Abdullah, 31, bapa kanak-kanak yang dilarikan bekas isterinya, Nur Khuzaimah Abd Jalil, 28.

Asrulmulah berkata, dia berkahwin dengan Nur Khuzaimah pada 2005 dan dikurniakan dua cahaya mata sebelum bercerai pada Februari 2009.

“Setelah bercerai, Mahkamah Tinggi Syariah Selangor mengeluarkan perintah agar anak sulung, Nurnadia Zulaikha, 7, diberikan hak penjagaan kepada bekas isteri manakala saya mendapat hak penjagaan anak kedua, Muhammad Zulkhairi. “Kami juga diberikan hak lawatan pada hujung minggu dan perlu menghantar pulang anak tersebut pada jam yang ditetapkan,” katanya, di sini, semalam.

Asrulmulah berkata, pada Oktober tahun lalu, dia menyerahkan Muhammad Zulkhairi kepada bekas isterinya untuk hak melawat dan bermalam bersama namun Nur Khuzaimah tidak menyerahkan kembali anak kedua mereka kepada Asrulmulah.

“Saya kemudiannya membuat laporan polis selain turut mencari mereka di rumah bekas isteri di Batu Caves, Selangor namun kami dimaklumkan mereka telah berpindah ke tempat lain,” katanya.

Berlaku perselisihan faham

Asrulmulah berkata, pada pagi 6 Mei lalu, ketika dia bersama isterinya, Haryati Namli, 27, sedang dalam perjalanan ke Kelantan, mereka singgah di rumah keluarga Asrulmulah di Felda Chegar Perah dan mendapati bekas isteri bersama kedua-dua anaknya berada di sana.

“Saya cuba memegang Muhammad Zulkhairi namun berlaku sedikit perselisihan faham antara saya dan bekas isteri,” katanya.

Asrulmulah berkata, dia kemudiannya ditenangkan ahli keluarga dan beberapa penduduk kampung yang datang ke rumah keluarganya.

“Kira-kira jam 5 petang, saya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) untuk diambil keterangan selain turut mengemukakan dokumen, laporan dan perjanjian hak jagaan yang dikeluarkan mahkamah,” katanya.

Asrulmulah berkata, namun begitu, kira-kira jam 8 malam dia mendapati ahli keluarga bekas isterinya membawa kedua-dua anak mereka ke dalam kereta dan memecut pergi dari IPD.

“Saya kemudiannya cuba mendapatkan penjelasan polis dan menerangkan hak penjagaan anak diputuskan Mahkamah Tinggi Syariah, Shah Alam namun gagal. “Polis turut menyatakan bahawa mereka tidak ada kuasa dalam kes berkenaan dan meminta kami merujuk
semula ke mahkamah,” katanya.

Polis tiada hak putuskan penjagaan anak

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Superintendan Abdul Razak Hassan berkata, pihaknya tidak ada hak untuk merampas Muhammad Zulkhairi dari Nur Khuzaimah untuk diserah­kan kepada Asrulmulah.

“Sekiranya wujud masalah ­seperti ini, pengadu (Asrulmulah) sepatutnya merujuk kes berkenaan di mahkamah dan menunjukkan surat hak pen­jagaan anak mereka. “Mahkamah akan mengeluarkan satu perintah hak penjagaan anak bagi menyelesaikan masalah mereka. Seandainya bekas isteri pengadu ­masih gagal memberikan kerjasama, dia boleh dikenakan denda kerana ingkar arahan mahkamah,” katanya.

Abdul Razak berkata, ketika di ­rumah keluarga Asrulmulah di Felda Chegar Perah, berlaku pergaduhan kecil hingga menyebabkan kecederaan kepada bekas isterinya.

“Pihak polis turut akan ­mendakwa Asrulmulah di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana mendatang­kan kecederaan kepada bekas ­isterinya,” katanya.

Abdul Razak berkata, masalah seperti itu seharusnya diselesaikan dengan cara lebih berhemah dan memerlukan kerjasama dari kedua belah pihak.

“Sikap bertolak ansur perlu ada bagi mengelakkan kejadian seperti ini berlaku. Kita tidak mahu hanya dengan kejadian seperti ini menimbulkan masalah kepada pihak lain selain turut memberi kesan negatif ­kepada anak-anak,” katanya.