Search This Blog

Sunday, May 27, 2012

Amah curi barang kemas dijel 18 bulan


PETALING JAYA 25 Mei - Pembantu rumah warga Indonesia yang melarikan diri bersama dua set barang kemas milik anak perempuan Ketua Wanita UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Azizah Abd. Samad, Isnin lalu, hari ini menerima padah apabila dihukum penjara 18 bulan oleh Mahkamah Majistret di sini.
Wanita yang hanya dikenali sebagai Sulismawati, 30, dijatuhi hukuman tersebut selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan oleh jurubahasa kepadanya di hadapan Majistret Ahmad Solihin Abd. Wahid.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa mencuri barang-barang kemas milik Zalilawati Osman, 33, yang bernilai lebih kurang RM50,000 itu di No. 44, Jalan SS 7/4, Kelana Jaya di sini pada pukul 3.15 petang, 21 Mei lalu.
Dakwaan terhadapnya dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Saphirra Selamat mengikut Seksyen 381 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda.
Terdahulu, Sulismawati yang tidak diwakili peguam bela memberitahu, dia mencuri kerana mahu pulang ke kampung halamannya di Surabaya untuk menjenguk anaknya yang sedang sakit.
''Saya takut majikan tidak benarkan saya pulang jika saya maklumkan kepadanya kerana saya baru sahaja bekerja, tak sampai sebulan.
''Saya merayu tuan, ringankan hukuman ke atas saya. Saya mahu pulang ke kampung untuk jumpa anak saya,'' katanya berkali-kali dengan nada sebak.
Mengikut laporan akhbar sebelum ini, kejadian itu disedari Azizah dan Zalilawati selepas pulang dari pejabat apabila mendapati Sulismawati tiada di rumah.
Curiga dengan ketiadaan pembantu rumahnya itu, Zalilawati kemudian memeriksa biliknya di tingkat atas dan mendapati dua set barang kemas yang disimpan di dalam laci hilang.
Wanita itu bagaimanapun berjaya ditangkap polis keesokan harinya selepas mendapat maklumat daripada orang ramai yang dia bersembunyi di sebuah rumah di Kampung Melayu Subang dekat sini.

No comments:

Post a Comment