Air termenung bantut kerja
Keadaan air termenung yang mengakibatkan kerja seharian penduduk berhampiran Sungai Senggarang terganggu.
SENGGARANG – Hujan lebat tiga hari berturut-turut di awal pagi, terutama pada 6 Mei lalu menyebabkan penduduk sekitar Jalan Parit Karjo, di sini berhadapan dengan situasi air termenung, sekali gus mengganggu rutin harian mereka.

Penduduk, Khatijah Ibrahim berkata, air hujan menyebabkan air Sungai Senggarang melimpah dan wujud keadaan seperti air bertakung di kawasan kediaman penduduk yang terletak berhampiran sungai itu dan ia mengambil masa untuk surut.
Menurutnya, rutin harian penduduk tertangguh seperti berkebun, memungut hasil kelapa sawit dan sebagainya, memaksa penduduk mengharapkan tindakan segera dilakukan.

“Perkara seperti ini tidak pernah berlaku. Air daripada Sungai Senggarang tidak pernah melimpah seperti ini kecuali pada banjir besar pada 2006 dan 2007.

“Seperti selalu, jika ada limpahan daripada sungai, ia hanya sekejap sahaja iaitu pada waktu hujan sahaja. Satu atau dua jam air berkenaan akan surut kembali dan tidak seperti ini bertakung berhari-hari," katanya kepada Sinar Harian.

Penduduk percaya air berkenaan bertakung dan melimpah kerana tiadanya kerja penyelenggaraan dilakukan terhadap sungai terbabit, selain terdapatnya pokok teratai yang menyebabkan air mengalir ke muara menjadi lambat.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Senggarang, Ja’affar Hashim berkata, punca air daripada Sungai Senggarang ini melimpah adalah disebabkan pertembungan antara air pasang dan air hujan.

“Masalah air bertakung ini melibatkan 10 kampung iaitu bermula di Kampung Lapis Kadir sehinggalah Kampung Sri Pantai dan jika tidak ada tindakan susulan yang dilakukan dalam masa yang terdekat ini, keadaan akan semakin sukar.

“Masalah utama yang saya lihat ialah. keadaan di kawasan muara sungai lebih tinggi berbanding dengan kawasan kampung yang terlibat serta terdapatnya lumpur yang bertakung di kawasan terbabit," katanya.

Pihaknya akan memanjangkan masalah itu kepada pihak yang berkenaan supaya tindakan selanjutnya dapat diambil sekali gus mengelakkan masalah sama berulang.