Search This Blog

Sunday, May 20, 2012

2 beranak nyaris rentung

2 beranak nyaris rentung - Perak - Sinar Harian:

2 beranak nyaris rentung
Keadaan rumah Sulaiman yang terbakar dalam kejadian awal pagi semalam.
TAIPING– Pengalaman terperangkap dalam rumah pasti tidak dapat dilupakan oleh dua beranak yang terselamat semasa kejadian kebakaran di Kampung Potong Pinang, di sini, awal pagi semalam.

Menceritakan kembali peristiwa itu, Mohd Rashid Sulaiman, 33, berkata, kejadian berlaku pada kira-kira jam empat pagi dan ketika itu dia tersedar daripada tidur kerana terasa bahang panas.
Menurutnya, dia terkejut apabila melihat sebahagian katilnya terbakar pada ketika itu dan segera mengejutkan anak sulungnya, Minsya Nur Asyura, 9, untuk menyelamatkan diri.
“Saya segera mengambil air untuk cuba memadamkan api. Semasa simbahan pertama, saya lihat api semakin kurang namun televisyen berhampiran meletup secara tiba-tiba semasa simbahan kedua menyebabkan api semakin marak.

“Kami terperangkap dalam rumah ketika itu kerana lupa di mana kunci rumah diletakkan dan bersyukur apabila jiran tetangga datang membantu,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, semalam.

Katanya, semasa jiran tetangga berjaya memecahkan pintu serta menyelamatkan Minsya Nur Asyura, dia dalam keadaan panik dan masih berusaha mencari kunci rumah.

“Saya tidak sedar pintu rumah telah terbuka ketika itu dan telah hampir pitam akibat terhidu asap tebal,” katanya.

Sementara itu, Minsya Nur Asyura mengakui, peristiwa terperangkap dalam rumah semasa kebakaran tidak akan dapat dilupakan dan merasa sedih kerana semua barang kelengkapan rumah musnah dalam kejadian itu.

Bapa Mohd Rashid, Sulaiman Yahya, 71 memaklumkan, dia bersama isterinya berada di Klebang ketika kejadian kerana membantu seorang ahli keluarga berpindah rumah.

“Saya terkejut selepas menerima panggilan telefon, memaklumkan kejadian, namun bersyukur kerana anak dan cucu selamat. Kami akan menyewa sebuah rumah di hadapan rumah kami yang terbakar untuk sementara waktu,” katanya.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Taiping, Penolong Kanan Penguasa Bomba Hasna Rashid berkata, panggilan berhubung kejadian diterima pada jam 4.05 pagi dan 18 anggota bemba bersama satu jentera dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Kami tiba di lokasi kejadian­ lima minit kemudian dan rumah separa batu itu telah 90 peratus terbakar.

“Kami mengambil masa sembilan minit untuk mengawal kebakaran. Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan punca serta kerugian masih dalam siasatan,” katanya.

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment