KUANTAN - Seorang ibu dan bayi lelakinya berusia enambulan maut selepas kenderaan pacuan empat roda yang mereka naiki terbabas di jalan tanah merah Ladang Sungai Murung, dekat Jalan Bukit Ibam-Rompin, semalam.

Dalam kejadian 4.50 petang itu, mangsa Asia Puteh, 24 dan bayinya Aril Shah Roslan, mati ditempat kejadian akibat cedera parah di kepala dan badan.

Menurut Ketua Polis Daerah Rompin, DSP Johari Jahaya, ketika kejadian kenderaan terbabit dipandu ibu kepada Asia, Maiki Lekong, 61, dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Kampung Cemupuk, dekat Kedaik, Sungai Rompin.

"Pacuan empat roda tersebut dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas dan melanggar tebing kanan jalan dan terbalik dengan keempat-empat tayarnya ke atas," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Maiki hanya cedera ringan dan mayat mangsa Orang Asli berkenaan dihantar ke Hospital Muadzam Shah untuk bedah siasat.  - Bernama