Search This Blog

Saturday, May 5, 2012

12 kes penipuan libatkan pakej umrah, pelancongan



KUALA LUMPUR 3 Mei - Sebanyak 12 kes penipuan melibatkan lima kes berkaitan pakej umrah dan tujuh kes berkaitan pakej pelancongan direkodkan Kementerian Pelancongan sepanjang tempoh dari 2010 hingga 31 Mac lalu.
Timbalan Menteri Pelancongan, Datuk Dr. James Dawos Mamit berkata, daripada jumlah tersebut, sebanyak lapan syarikat pelancongan telah dibatalkan lesen mengikut Akta Industri Pelancongan 1992, tiga syarikat dikenakan amaran manakala satu kes lagi masih dalam siasatan.
Jelas beliau, kementeriannya juga sedang mengambil tindakan untuk meminda Akta Industri Pelancongan 1992 bagi mewujudkan peraturan baru dalam melindungi hak-hak pengguna dan kepentingan pelancongan.
"Antara langkah yang akan diambil adalah penubuhan Kumpulan Wang Pampasan Industri Pelancongan (KWPIP) yang mendapat sokongan Persatuan Agensi Pengembaraan dan Pelancongan Malaysia (Matta).
"Peraturan baru yang dicadangkan ini akan mewajibkan semua syarikat pengendalian pelancongan dan agensi pengembaraan yang berlesen untuk menyumbang kepada kumpulan wang pampasan ini," katanya di Dewan Negara hari ini.
Beliau menjawab soalan asal Senator Datuk Boon Som Inong yang bertanyakan jumlah syarikat pelancongan yang dikenakan tindakan akibat aktiviti penipuan melibatkan pakej percutian dan umrah.
Menurut James, kementeriannya menjangkakan peraturan baru berhubung KWPIP itu akan dapat dikuatkuasakan selewat-lewatnya pada penghujung tahun ini.

No comments:

Post a Comment