Search This Blog

Monday, April 2, 2012

Warga emas ditemui mati, tidak sempat terima wang BR1M


SETIU 1 April - Hasrat seorang warga emas, Mustafa Mat Yatim, 63, untuk membeli makanan enak selepas mendapat Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) tidak kesampaian apabila dia ditemui mati di pondoknya di Kampung Fikri, dekat sini semalam.
Mustafa yang berasal dari Kampung Bukit Abal, Pasir Putih, Kelantan hidup sebatang kara di kampung berkenaan sejak lebih tiga tahun lalu dengan menumpang pondok milik seorang penduduk.
Warga emas yang melakukan kerja-kerja kampung seperti mengambil upah mengopek kelapa dan membersihkan kebun untuk menyara hidup itu sepatutnya mengambil BR1M bersama penerima lain di Dewan Pejabat Pelajaran Daerah, dekat sini hari ini.
Setiausaha Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung itu, Norzeri Abdullah ketika ditemui berkata, setiap kali berjumpanya, Mustafa sering bertanya bilakah dia akan mendapat bantuan tersebut.
Norzeri memberitahu, sebelum ini, surat kelulusan BR1M untuk Mustafa belum diterima oleh pihak JKKK menyebabkan warga emas berkenaan risau tidak memperolehi bantuan itu kerana sudah ramai penduduk kampung tersebut mendapat BR1M.
"Tiga hari lalu saya mendapat surat kelulusan bantuan RM500 tersebut dari Pejabat Daerah Setiu lalu saya serahkan kepadanya.
"Semasa menerima surat itu, Mustafa tersenyum serta berkali- kali menyuarakan hasratnya untuk membeli makanan yang sedap apabila mendapat wang bantuan itu," katanya di sini semalam.
Mustafa yang mempunyai enam anak itu ditemui mati di pondoknya kira-kira pukul 5 petang oleh seorang penduduk kampung yang kebetulan mencari kambing di kawasan tempat tinggal warga emas itu.
Jenazah Mustafa dikebumikan hari ini di tanah perkuburan kampung berkenaan hasil kerjasama JKKK Kampung Fikri dengan penduduk kampung.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Deputi Supritendan Rohaizat Abd. Ani ketika dihubungi berkata, pihaknya tidak mengesyaki sebarang perbuatan jenayah berhubung kematian warga emas itu.
Menurutnya, siasatan awal mendapati lelaki berkenaan meninggal dunia dipercayai akibat serangan jantung.

No comments:

Post a Comment