Search This Blog

Sunday, April 15, 2012

Tragedi lombong

SIK: Tindakan seorang kanak-kanak pergi memancing bersama dua rakannya berakhir dengan tragedi apabila mangsa ditemui lemas di dalam lombong di Kampung Banggol, Sungai Setar, Mukim Jeneri, dekat sini, malam kelmarin.
Muhammad Aiman Mohd Rodzi, 10, dipercayai keluar rumah jam 5.30 petang tetapi kehilangannya hanya disedari rakannya sekitar jam 7 malam sebelum penduduk membuat laporan polis.

Ahli keluarga mangsa yang enggan dikenali berkata, mangsa yang juga murid Tahun Empat Sekolah Kebangsaan Jeneri sering pergi memancing bersama rakannya di lombong berhampiran rumahnya ketika cuti sekolah hujung minggu.

Katanya, ketika kejadian, seorang penduduk turut memancing berdekatan tempat kejadian sebelum mendapati seorang daripada kanak-kanak itu hilang.

“Penduduk terbabit mengesyaki sesuatu yang buruk berlaku lalu memaklumkan kejadian kepada saya yang kemudian bergegas ke lombong sejauh 300 meter dari rumah untuk menyelamatkan mangsa namun gagal lalu memaklumkan polis.

“Mangsa yang juga anak ketiga daripada empat beradik sebelum ini tidak menunjukkan sebarang perubahan, malah saya turut melihatnya pergi menunaikan solat Jumaat bersama ayahnya sebelum kejadian,” katanya di Bahagian Forensik Hospital Sik, di sini.




Sementara itu, guru sekolah mangsa, Harishon Shaari berkata, Muhammad Aiman adalah pelajar baik dan tidak pernah menghadapi masalah di sekolah, namun dia menjadi pendiam ketika di sekolah, Khamis lalu.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Sik, Asisten Superintendan Muhamad Rusli Mat ketika ditemui mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian berkenaan pada jam 7.30 malam.

Menurutnya, selepas menerima laporan, sepasukan anggota dari Balai Polis Jeniang bergegas ke tempat kejadian dan mayat mangsa ditemui jam 8 malam sebelum dihantar ke Hospital Sik untuk bedah siasat.

Katanya, hasil bedah siasat tidak menemui unsur jenayah dan mengklasifikasikan kematian mangsa sebagai mati mengejut.

Jenazah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Masjid Jeneri, di sini, jam 10 pagi semalam.

No comments:

Post a Comment