Search This Blog

Sunday, April 15, 2012

Tiga maut tersepit

TAWAU: Kegembiraan tiga sekawan yang baru balik dari pusat bandar bertukar tragedi selepas kenderaan dipandu terbabas ke dalam parit sehingga menyebabkan semua mangsa maut akibat tersepit di Batu 4, Jalan Apas, awal pagi, semalam.
Dalam kejadian jam 2 pagi, tiga mangsa dikenali sebagai Tan Tee Khong, 24, Wong Lian Churn, 31, dan seorang lagi wanita berusia 20-an yang gagal ditemui identitinya maut di tempat kejadian.

Kenderaan dinaiki ketiga-tiga mangsa terbabit dipercayai hilang kawalan lalu menyebabkan mereka terbabas dan terjunam ke dalam parit.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Ibrahim Chin berkata, siasatan awal polis mendapati kenderaan Honda Civic dinaiki mangsa dari pusat bandar menuju ke arah lapangan terbang dipercayai dipandu laju.

Katanya, ketiga-tiga mangsa yang maut ialah pemandu lelaki berusia 24 tahun dan dua penumpang termasuk seorang wanita berusia 20-an yang belum dikenal pasti identitinya.

“Kenderaan dipercayai dipandu laju sebelum hilang kawalan, menyebabkan mereka terbabas lalu menjunam ke dalam parit di tepi jalan terbabit.




“Polis masih menjalankan siasatan penuh terhadap insiden ini bagi mengenal pasti sama ada pemandu memandu dalam keadaan mabuk,” katanya, semalam.

Menurut Ibrahim, ketiga-tiga mayat dihantar ke Hospital Besar Tawau untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

No comments:

Post a Comment