Search This Blog

Tuesday, April 17, 2012

Sesak nafas rumah terbakar

myMetro | Sesak nafas rumah terbakar:

SHAH ALAM: “Mula-mula saya sesak nafas dan berbau hangit selain keadaan dalam rumah bahang.
“Kemudian saya nampak asap tebal dari luar tingkap ruang tamu rumah sebelum turun memeriksa,” kata penghuni rumah di Blok 54, Flat Seksyen 7, di sini, yang dikenali sebagai Azman Firdaus, 22, menceritakan kebakaran berlaku awal pagi semalam.

Ketika kebakaran kira-kira jam 4 pagi itu, Azman yang sedang nyenyak tidur bersama enam rakannya berasa tidak selesa dan apabila diperiksa mereka mendapati api marak di bahagian tempat letak motosikal di bawah rumah flat mereka.
Menurutnya, dia dan rakannya menjadi orang pertama melihat kejadian kebakaran yang memusnahkan dua motosikal jenis Honda EX5, lebih 500 bendera MIC dan Barisan Nasional (BN), paip saluran najis di flat berkenaan dan juga perabot di tempat itu.

“Ketika turun memeriksa arah datangnya asap tebal dan bau hangit, saya nampak api marak dan meminta bantuan penduduk memadam kebakaran,” katanya.

Ketua Cawangan MIC Seksyen 7, N Devendran berkata, dia menerima panggilan jam 4.15 pagi memberitahu kebakaran di tempat simpanan bendera BN dan bergegas ke tempat kejadian sebelum menelefon bomba.
Katanya, beliau bersama penduduk lain cuba memadamkan kebakaran dengan hos kecemasan.

“Apabila sampai saya lihat api marak, bendera dan pemidang hangus dijilat api, manakala dua motosikal juga terbakar disambar api.
“Kami sempat mengalihkan motosikal dan bertungkus-lumus memadamkan kebakaran kerana bimbang api merebak ke pencawang elektrik terletak kurang lima meter dari tempat kejadian,” katanya, semalam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Zahedi Ayob, ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu dan menafikan ia ada kaitan dengan unsur jenayah.

“Selepas diteliti, kami menafikan kejadian ada kaitan unsur jenayah. Tetapi, polis akan terus melakukan siasatan,” katanya.


'via Blog this'

No comments:

Post a Comment