Search This Blog

Sunday, April 15, 2012

Rampas 15,000 liter diesel

SHAH ALAM: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Selangor merampas 15,000 liter diesel bersubsidi bernilai RM30,000 dalam serbuan di sebuah stesen minyak di Seksyen 16, di sini, malam kelmarin.
Serbuan bermula jam 9.30 malam sebelum berakhir sejam kemudian itu dilakukan sepasukan anggota penguat kuasa KPDNKK Selangor diketuai Pengarah Penguatkuasanya, Othman Nawang.

Othman berkata, serbuan terhadap stesen minyak itu dilakukan selepas mendapat aduan orang ramai berhubung kegiatan penyelewengan diesel bersubsidi.

Katanya, intipan dilakukan selama sebulan terhadap kehadiran sebuah lori tangki mencurigakan di stesen minyak itu.

“Kami mengesyaki wujud kerjasama antara stesen minyak dengan sindiket. Apapun kami akan melakukan siasatan lebih lanjut mengenai kes ini.

“Sebelum ini, KPDNKK menyerbu syarikat pengusaha stesen minyak itu dua kali tahun lalu.




“Kali ini kita dapati mereka lebih berani membuat kesalahan dengan menyedut diesel bersubsidi dari tangki bawah tanah secara terang-terangan dan terus dipindahkan ke sebuah lori tangki,” katanya.

Tindakan itu, katanya, dianggap sangat berani kerana memindahkan diesel secara haram di tempat terbuka.

Othman berkata, pihaknya menahan seorang lelaki berusia 36 tahun iaitu pemandu lori itu dan pemeriksaan lanjut mendapati 15,000 liter diesel bersubsidi sempat dipindahkan ke dalam lori itu dengan nilai RM30,000.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.

No comments:

Post a Comment