Search This Blog

Tuesday, April 17, 2012

Mekanik paut bonet 15 meter

myMetro | Mekanik paut bonet 15 meter:

SUBANG JAYA: Seorang mekanik seperti berlakon aksi lagak ngeri apabila dia dilanggar sebuah kereta dan berpaut pada bonet kereta berkenaan sejauh 15 meter sebelum tercampak atas jalan raya di hadapan sebuah pusat beli-belah di USJ 1, di sini.
Dalam kejadian Jumaat lalu, lelaki berusia 25 tahun itu dilanggar kereta Toyota Vios dinaiki dua lelaki ketika cuba berbincang dengan mereka berikutan berlaku kemalangan kecil antara mereka lima minit sebelum itu.

Menurut sumber, dalam kejadian jam 8.15 malam itu, mangsa yang memandu Proton Tiara seorang diri di Persiaran Kewajipan menghala Bandar Sunway dipintas kereta suspek dan melanggar bahagian kanan kenderaannya.
“Tidak puas hati dengan kejadian itu, mangsa mengejar dan memintas kereta terbabit sebelum mengarahkan pemandunya memberhentikan kenderaan 10 meter dari tempat kemalangan berkenaan.

“Suspek memberhentikan kenderaan, namun mereka tidak turun sebaliknya menurunkan cermin tingkap kereta,” katanya.

Menurut sumber, sebaik mangsa bertanya mengenai perbuatannya tadi, suspek menaikkan cermin tingkap dan menekan pedal minyak lalu melanggar mangsa yang ketika itu berada di hadapan keretanya menyebabkan lelaki terbabit tercampak atas bonet serta terpaksa berpaut padanya.
“Selepas 15 meter dari tempat kejadian, suspek menekan brek menyebabkan mangsa tercampak sejauh lima meter ke atas jalan raya manakala pemandu Toyota Vios itu memecut keretanya meninggalkan mangsa.

“Mangsa dibantu orang ramai yang berada di situ dan dibawa ke klinik berdekatan untuk rawatan akibat cedera,” katanya.
Sejurus selepas menerima rawatan, mangsa membuat laporan polis di Balai Polis USJ 8.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Yahaya Ramli ketika dihubungi berkata, pihaknya menerima laporan mangsa pada jam 12.30 malam, hari kejadian.

“Kami sudah mengenal pasti dua suspek yang berusia 20-an serta gerakan memburu mereka giat dijalankan.

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 323 dan 506 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan serta ugutan jenayah,” katanya.

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment