Search This Blog

Monday, April 2, 2012

Lumba haram kereta tumpas



Anggota polis bahagian narkotik melakukan pemeriksaan sampel air kencing ke atas pemandu kereta yang ditahan dalam operasi membanteras lumba haram di Johor Bahru, kelmarin.


JOHOR BAHRU 1 April - Bagaikan aksi dalam filem The Fast and The Furios, sekumpulan pelumba kereta bertindak berani dengan menganjurkan lumba pecut kereta jarak dekat secara haram di Lebuh Raya Utara-Selatan berdekatan Plaza Tol Skudai di sini tengah malam tadi.
Kegiatan mereka, bagaimanapun tumpas setelah polis menyerbu lokasi itu dan menahan 83 kereta ketika ligat beraksi dalam Ops Khas Lumba Kereta.
Operasi selama lima jam bermula pukul 12 tengah malam itu dijalankan Unit Khas Trafik Ibu Pejabat Polis Bukit Aman dengan dibantu Cawangan Trafik, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial dan Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor serta Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri.
Ketua Operasi Unit Khas Trafik Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Asisten Supritendan Khuzir Abd. Majit berkata, pihaknya melakukan pemantauan selama dua minggu sebelum melakukan operasi cegah lumba haram berkenaan.
"Litar perlumbaan bagi aktiviti setiap hujung minggu itu bermula dari plaza tol berkenaan sehingga ke susur keluar Skudai yang terletak kira-kira satu kilometer.
"Terdapat pemandu cuba melarikan diri tetapi polis bertindak lebih awal dengan menutup beberapa susur keluar lain di plaza tol berkenaan," katanya semasa ditemui selepas tamat operasi.
Lumba pecut kereta jarak dekat mengikut Wikipidea adalah perlumbaan melibatkan antara dua atau lebih kenderaan pada jalan lurus dengan jarak yang pendek iaitu kira-kira 0.8 kilometer.
Khuzir memberitahu, kesemua kereta yang ditahan dibawa ke Pejabat Peronda Lebuh Raya di Sedenak untuk tindakan selanjutnya.
Menurutnya, sebanyak 102 saman trafik dan 32 saman JPJ turut dikeluarkan atas pelbagai kesalahan, antaranya mengubah suai kenderaan dan nombor plat serta cukai jalan tamat tempoh.
"Seramai 10 pemandu yang ditahan turut didapati mempunyai waran tangkap atas kesalahan trafik sebelum ini manakala dua lagi didapati positif dadah menerusi ujian air kencing," katanya.
Pihaknya akan terus menjalankan operasi membanteras kegiatan lumba haram di seluruh negara dari semasa ke semasa.

No comments:

Post a Comment