Search This Blog

Monday, April 2, 2012

Letupan di Hatyai berpunca daripada bom kereta


KUALA LUMPUR 1 April - Seorang rakyat Malaysia disahkan terbunuh dan 10 lagi mengalami kesan lecur dalam kejadian letupan bom kereta di sebuah hotel di Hatyai, selatan Thailand semalam, menurut Konsul General Malaysia di Songkhla Mohd Aini Atan.
Beliau berkata, mangsa yang terbunuh dikenal pasti sebagai Law Phin Hock, 46, berasal dari Kulim, Kedah.
Mohd Aini, ketika dihubungi berkata, 10 rakyat Malaysia yang cedera itu - tiga lelaki dan tujuh wanita - kini dirawat di tiga buah hospital.
"Empat mangsa (dua lelaki, dua perempuan) kini dirawat di hospital Songkhla dan tiga lagi kesemuanya perempuan di Hospital Sikarin manakala di Hospital Rajyindee (seorang lelaki dan dua perempuan). Mangsa yang cedera kini berada di dalam keadaan stabil," katanya.
Kejadian letupan itu yang pada awalnya dipercayai berpunca daripada kebocoran gas telah disahkan sebagai letupan bom kereta oleh Ketua Polis Thailand, Jen. Priewpan Damapong dalam kenyataannya yang disiarkan televisyen hari ini.
Kejadian letupan di Haadyai itu berlaku pada masa yang sama dengan kejadian letupan bom kereta di Yala semalam, mengorbankan 11 orang dan mencederakan 110 yang lain.
Mohd. Aini berkata, seramai 10 pegawai dari tiga agensi iaitu Pejabat Penyelarasan Sempadan Malaysia-Thailand (MTBCO), Pegawai Perhubungan Polis (MPLO) serta Kementerian Luar sedang membuat pemantauan di pejabat operasi berhampiran lokasi kejadian.
Katanya, pegawai tersebut juga akan memantau keadaan mangsa yang mengalami kecederaan dan memberi maklumat dari semasa ke semasa bagi memastikan anggota keluarga mangsa mendapat perkembangan terbaru mengenai mereka.
Beliau berkata, 17 lagi rakyat Malaysia yang cedera menerima rawatan pesakit luar.
Mereka adalah antara lebih 300 orang yang dilaporkan cedera dalam kejadian di lokasi yang sentiasa sesak dengan pelancong itu kerana kedudukannya di tengah pusat perniagaan. — BERNAMA

No comments:

Post a Comment