Search This Blog

Friday, April 27, 2012

Lemas pertama kali ke sungai

myMetro | Lemas pertama kali ke sungai:



         
SAMARAHAN: “Dia tidak pernah ke sungai sebelum ini dan petang semalam (kelmarin) kali pertama dia mengikut rakannya mandi,” kata Yuk Sulaiman, 30, ibu kepada Muhammad Khairul Azhar, 10, yang dikhuatiri lemas ketika mandi di Sungai Sabang di sini, kelmarin.

Menurutnya, sebab itulah dia terkejut apabila diberitahu anaknya hilang ketika mandi bersama lapan rakan di sungai yang terletak kira-kira 100 meter dari rumah mereka di Kampung Melayu, Kota Samarahan.


Katanya, seminggu sebelum kejadian, anak lelaki tunggalnya itu menunjukkan kelakuan pelik apabila selera makannya dilihat bertambah, tidak banyak bercakap dan hanya tersenyum apabila ditanyakan sesuatu.

“Sebelum kejadian, dia juga ada minta wang untuk ke kedai dan pulang semula ke rumah, tetapi kira-kira jam 3.30 petang, dia keluar dan terus tidak pulang sehingga seorang daripada rakannya memberitahu yang dia lemas di sungai.


“Rakannya yang datang ke rumah dengan membawa pakaian dipakai anak berkata Khairul dilihat terkapai-kapai meminta pertolongan sebelum tenggelam, tetapi mereka tidak dapat membantu kerana masing-masing tidak pandai berenang,” katanya ketika ditemui di rumahnya semalam.


Yuk berkata, dia bergegas ke lokasi kejadian sebaik diberitahu kejadian itu, tetapi anaknya sudah tiada dan air pasang menyukarkan pencarian.

“Saya menghubungi suami yang bekerja di Sejingkat mengenai kejadian itu dan meminta jasa baik orang kampung untuk mencari Khairul,” katanya.


Namun, hingga petang semalam, usaha mencari mangsa dibantu anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) masih gagal menemuinya.


Sementara itu, jurucakap JPAM berkata, keadaan cuaca petang kelmarin yang tidak mengizinkan menyebabkan mereka terpaksa menyambung operasi mencari dan menyelamat, semalam.


Katanya, seramai 10 anggota terbabit dalam operasi bermula jam 8 pagi hingga 5 petang dan disambung hingga jam 9 malam tadi.


“Kami memberi tumpuan di lokasi lemas dan kawasan berhampiran kerana percaya mangsa masih berada sekitar kawasan itu, tetapi anggota JPAM turut melakukan rondaan menyusuri Sungai Sabang bagi mengesan mangsa. Operasi akan diteruskan dengan bantuan orang kampung hingga mangsa ditemui,” katanya.

No comments:

Post a Comment