Search This Blog

Monday, April 2, 2012

Kereta rempuh jentolak, 2 maut


KEPALA BATAS 1 April - Dua terbunuh selepas sebuah kereta merempuh sebuah jentolak dalam kemalangan ngeri di Taman Desa Sena di sini semalam.
Dalam kejadian pukul 7.40 petang itu, mangsa terbunuh ialah pemandu jentolak, P. Premkumar, 27, dan pemandu kereta Honda Accord, Fairuz Ahmad, 28.
Premkumar maut di tempat kejadian manakala Fairuz pula meninggal dunia di Hospital Kepala Batas.
Ketua Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Utara, Asisten Supritendan Suhaimi Mohd. Noor berkata, kemalangan berlaku semasa jentolak itu keluar dari simpang Taman Desa Sena sebelum dirempuh kereta terbabit.
Katanya, semasa kejadian, jentolak itu dalam perjalanan ke Pokok Machang sementara kereta berkenaan pula dari arah Tasek Gelugor.
"Rempuhan itu menyebabkan jentolak tersebut terbalik lalu menghempap Premkumar menyebabkan dia cedera parah di kepala.
"Fairuz juga cedera parah dan dihantar untuk rawatan tetapi gagal diselamatkan," ujarnya ketika dihubungi di sini hari ini.
Suhaimi berkata, mayat kedua-dua mangsa dibedah siasat di Unit Forensik Hospital Kepala Batas sebelum dituntut oleh keluarga masing-masing.
Katanya, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

No comments:

Post a Comment