Search This Blog

Monday, April 2, 2012

Duda dipercayai ketua sindiket edar dadah diberkas


KOTA BHARU 1 April - Polis memberkas seorang duda berusia 29 tahun dipercayai ketua sindiket pengedaran dadah yang amat dikehendaki dalam satu serbuan di sebuah rumah di Kampung Kok Bedollah, Tumpat, Khamis lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kelantan, Supritendan Amran Ramli berkata, suspek berasal dari Kampung Geting, Tumpat itu dipercayai ketua 'Geng Zack' yang dianggotai oleh tujuh ahli.
Beliau berkata, dalam serbuan itu polis turut merampas 3,500 biji pil kuda dan tiga botol heroin dianggarkan bernilai RM111,000 serta wang tunai RM4,210 dipercayai hasil jualan dadah.
Jelasnya, serbuan pukul 3.50 petang itu dilakukan oleh sepasukan polis daripada Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan selepas mendapat maklumat mengenai pengedaran dadah.
"Lelaki tersebut ditangkap di luar rumah itu dan barang rampasan ditemui dalam dan luar rumah," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Menurut Amran, lelaki terbabit sebelum ini pernah ditangkap di bawah Seksyen 3(1) Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985 pada 2009 dan dimasukkan ke pusat pemulihan akhlak di Machang serta dibebaskan pada September lalu.
"Tangkapan dan rampasan itu disiasat mengikut Seksyen 39B, Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.
Menurut Amran, dalam serbuan tersebut, polis turut menyita tiga kenderaan iaitu Proton Perdana, Proton Wira dan Honda dianggarkan bernilai RM70,000.

No comments:

Post a Comment