Search This Blog

Tuesday, April 17, 2012

Dua sahabat didakwa merogol, seorang bersubahat

Utusan Malaysia Online - Mahkamah:


KUALA TERENGGANU 16 April – Dua pemuda dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan merogol seorang remaja berusia 14 tahun manakala seorang rakan mereka didakwa bersubahat melakukan perbuatan tersebut pada awal bulan ini.
Abdullah Che Pa, 19, Faizol Yaakob, 22, dan rakan subahat mereka, Nor Shahrul Zuraimie Noruddin, 20, masing-masing mengaku tidak bersalah atas pertuduhan yang dibacakan secara berasingan.
Abdullah didakwa merogol mangsa di sebuah rumah tidak bernombor di Jalan Tembila, Kampung Gong Medan, Kampung Raja, Besut di sini di antara pukul 9 malam dan 11 malam, 2 April lalu.
Faizol pula didakwa merogol mangsa di rumah tertuduh di alamat Lot 120, Jalan Tembila, Kampung Gong Medan, Kampung Raja, Besut di antara pukul 8 pagi dan 10 pagi, 3 April lalu.
Dakwaan terhadap Abdullah dan Faizol, masing-masing dikemukakan mengikut Seksyen 376(2) dan 376(1) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara minimum lima tahun dan maksimum 20 tahun serta sebatan.
Hakim Wan Fadhilah Nor Wan Idris membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM7,000 dengan seorang penjamin.
Sementara itu, Nor Shahrul dihadapkan di hadapan Hakim Datuk Zainal Abidin Kamaruddin atas dakwaan bersubahat dengan Faizol untuk melakukan perbuatan itu pada masa, tarikh dan tempat yang sama.
Nor Shahrul yang didakwa di bawah Seksyen 116 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 376(2) kanun sama, tidak dibenarkan diikat jamin memandangkan tiada ahli keluarganya hadir untuk menjadi penjamin.
Kedua-dua mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 17 Mei ini.
Pendakwaan ketiga-tiga kes itu dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Zulfazliah Mahmud.

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment