Search This Blog

Monday, April 2, 2012

Darah penuhi jalan


HATYAI, SONGKHLA: “Sebaik menjejakkan kaki di lobi hotel, saya dikejutkan dengan gegaran dan dentuman kuat seolah-olah kapal terbang terhempas sebelum melihat asap tebal menyelubungi kawasan berdekatan,” kata Razmin Ahmad, 35, penjawat awam yang menyaksikan kejadian letupan bom di Hotel Lee Garden di Jalan Prachatipat dekat sini, kelmarin.
Dalam kejadian jam 1 tengah hari itu, Razmin baru saja selesai mendaftar masuk ke hotel berhadapan hotel terbabit bersama 80 lagi rakan rombongan dari Ipoh, Perak, sebelum dikejutkan dengan dentuman kuat.

“Sebaik menyedari berlaku letupan, saya memeriksa sekitar hotel dan terdengar tangisan orang ramai yang menjadi mangsa letupan.
“Saya lihat pecahan kaca serta darah mangsa memenuhi jalan di sekitar kawasan letupan serta sempat membuat rakaman video menggunakan telefon bimbit,” katanya yang ke situ untuk kali kedua dalam tempoh dua bulan.

Menurutnya, dia berada di lokasi letupan bom berkenaan hampir dua jam dan menyaksikan kekecohan yang berlaku di kawasan terbabit termasuk bomba dan ambulans yang berulang-alik menyelamatkan mangsa.

“Orang ramai yang terperangkap di tingkat empat bangunan hotel menjerit serta melambai-lambaikan tangan melalui tingkap yang dipenuhi asap tebal.
“Ada yang keluar melalui belakang bangunan, manakala mereka yang berada di sekitar kawasan letupan dan restoran makanan segera terbaring cedera dan ada yang tidak sedarkan diri,” katanya.

Razmin berkata, semua ahli rombongan yang datang bersama-samanya terselamat dan tidak cedera.
Katanya, dia datang ke negara berkenaan bersama keluarga termasuk isteri dan tiga anaknya dan kini takut untuk bersiar-siar di lokasi tumpuan pelancong termasuk kawasan berdekatan hotel diduduki.

No comments:

Post a Comment