Search This Blog

Monday, April 2, 2012


Cerita detik cemas mangsa letupan bom Hatyai

HATYAI 1 April - "Kejadian berlaku begitu pantas sehingga saya dan isteri tidak sempat melarikan diri. Bunyi letupan sangat kuat diiringi serpihan kaca berterbangan mengenai kami."
Itu cerita mangsa letupan bom di Hotel Lee Gardens Plaza di sini, Choo Kok Boon, 46, dalam nada tersekat-sekat ketika cuba mengingati detik cemas itu.
Menurut peniaga alat ganti kenderaan itu, pada mulanya dia dan isteri warga Thailand,Somkhid Lauyut, 37, berjalan menuju ke kenderaan mereka yang diletakkan di bahu jalan berdekatan.
Katanya, ketika melalui jalan itu, dia tidak mengesyaki apa-apa kerana keadaan tenang, malah kenderaan di jalan raya juga tidak sibuk ekoran waktu makan tengah hari.
Namun, katanya, satu letupan kuat tiba-tiba menggegarkan kawasan sekitar.
"Muka saya berlumuran darah terkena kaca. Saya juga lihat isteri tersembam dan terpaksa merangkak di bahu jalan. Saya juga sempat lihat orang ramai menjerit dan keadaan masa itu agak kelam-kabut kerana ada yang menangis," katanya ketika ditemui pemberita Malaysia di Hospital Rajyindee di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 1 petang (waktu tempatan) semalam, seramai 416 orang termasuk pelancong Malaysia dilaporkan cedera akibat letupan yang menggegarkan kompleks beli-belah dan Hotel Lee Gardens Plaza di sini.
Berdasarkan laporan pihak berkuasa, seramai empat orang terbunuh termasuk seorang warga Malaysia manakala yang lain termasuk 27 rakyat Malaysia cedera dalam letupan yang berlaku tidak lama selepas tiga letupan bom mengorbankan 13 orang dan mencederakan lebih 100 yang lain di Yala, dekat sini.
Kok Boon yang berasal dari Taman UOG Heights, Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur berkata, dia dan isteri bercuti ke negara ini sejak petang Jumaat lalu.
"Semasa kejadian, saya sudah hendak pulang ke Malaysia. Kalau saya cepat seminit atau dua, mungkin kami tidak kena dan selamat pulang," katanya.
Lelaki itu yang mengalami kecederaan di kepala, tangan dan kaki berkata, kejadian itu memang mengejutkan kerana dia serta mangsa lain terpinga-pinga melihat kepulan asap sebelum dibantu anggota paramedik.
Seorang lagi mangsa, Minnie Ng, 35, berkata, perasaan teruja kerana pertama kali datang Hatyai bertukar menjadi detik hitam apabila turut terlibat dalam kejadian itu.
"Saya ingat datang sini hendak bercuti dan membeli-belah, tetapi tidak sangka dimasukkan ke hospital," ujarnya.
Jelasnya, sebelum letupan dia dan 20 lagi ahli rombongan syarikatnya dari Melaka baru mendaftar untuk menginap di hotel itu.
"Ikut program, kami dijangka pulang esok (Isnin) tetapi dalam keadaan sekarang, saya terpaksa dirawat dahulu," katanya.
Sanguthala Khrisnan, 33, pula berkata, dia amat takut melihat kepulan asap tebal semasa terperangkap di hotel tersebut.
"Nasib baik kami dibawa oleh penghuni lain ke kawasan kolam renang," katanya yang masih trauma ekoran kejadian itu.
Bagaimanapun, katanya, dia bersyukur kerana kesemua ahli rombongan syarikat terselamat dalam kejadian tersebut.

No comments:

Post a Comment