Search This Blog

Tuesday, April 17, 2012

Bekas CEO YPM didakwa subahat lulus RM300,000

Bekas CEO YPM didakwa subahat lulus RM300,000 - Semasa - Sinar Harian:

KUALA LUMPUR - Bekas ketua pegawai eksekutif Yayasan Pelajaran MARA (YPM) Datuk Dr Abdul Shariff Hamid mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini terhadap sembilan pertuduhan bersubahat bagi kelulusan tuntutan palsu membabitkan lebih RM300,000, tahun lepas.
Dr Abdul Shariff, 52, didakwa bersubahat dengan pengurus bahagian pengurusan program YPM Zainal Rashid Zakaria, 43, dengan mengarahkan pengurus kewangan YPM, Hafizoh Mohd Shah supaya meluluskan tuntutan yang dikemukakan Zainal Rashid melalui borang pengesahan pembayaran.
Borang itu mengandungi maklumat palsu bagi pelaksanaan sembilan Program Kecemerlangan Ilmu dan Sahsiah Diri Murid di negeri Perak antara 5 Julai dan 22 September 2011.
Dr Abdul Shariff dituduh bersubahat untuk meluluskan tuntutan program itu yang keseluruhannya bernilai RM304,650, sedangkan dia tahu program itu tidak dilaksanakan.
Dia didakwa melakukan kesemua kesalahan tersebut di pejabat YPM, Aras 9, Medan MARA, Jalan Raja Laut pada 1.30 tengah hari 23 Jun 2011.
Sementara itu, di mahkamah yang sama, Zainal Rashid mengaku tidak bersalah terhadap sembilan pertuduhan menggunakan borang pengesahan pembayaran yang mengandungi maklumat palsu bagi pelaksanaan sembilan program tersebut.
Program itu yang keseluruhannya bernilai RM304,650, dikendalikan Syarikat Neem Resources, yang mana Zainal Rashid tahu program tersebut tidak dilaksanakan.
Bapa tiga anak itu didakwa melakukan kesalahan tersebut pada masa dan tempat yang sama.
Kesemua pertuduhan mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum menurut seksyen 24 akta yang sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda jumlah suapan atau RM10,000 atau mana yang lebih tinggi.
Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Mohd Sophian Zakaria dari SPRM menawarkan jaminan sebanyak RM70,000 dengan seorang penjamin terhadap kedua-dua tertuduh dan memohon supaya pasport milik Dr Abdul Shariff diserahkan kepada mahkamah.
"Jumlah jaminan yang ditawarkan adalah bersesuaian dengan Sembilan pertuduhan yang dihadapi oleh setiap tertuduh dan membabitkan jumlah yang besar melebihi RM300,000," katanya.
Peguam Waz Azmir Wan Majid yang mewakili Dr Abdul Shariff memohon supaya jaminan itu dikurangkan kerana anak guamnya yang mempunyai enam anak itu tidak mempunyai pendapatan yang tinggi dan isterinya hanya mempunyai simpanan sebanyak RM10,000.
Sementara itu, peguam Mohamed Haniff Katri Abdulla yang mewakili Zainal Rashid memohon supaya mahkamah mengenakan jaminan yang berpatutan kerana anak guamnya mempunyai pendapatan RM7,000 sebulan dan perlu menyara keluarga termasuk ibu mertua yang sudah tua.
Hakim Rozilah Salleh membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin RM50,000 dengan seorang penjamin dan memerintahkan Dr Abdul Shariff menyerahkan pasportnya kepada mahkamah.
Mahkamah menetapkan 22 Mei untuk sebutan kes. – Bernama

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment